
Pemuda Umno mahu PM lantik Tok Mat sebagai Menteri Kewangan
Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam barisan Kabinet baharu.
Asyraf Wajdi berkata, ia bagi merealisasikan tuntutan rakyat berkaitan moratorium, i-Citra serta tambahan nilai pakej bantuan rakyat.
“Ketika ini rakyat amat susah, gelisah dan tertekan memerlukan seorang Menteri Kewangan dipilih dalam kalangan yang biasa bergelumang dengan rakyat dan memahami denyut nadi mereka.
“Saya mencadangkan supaya dipertimbangkan cadangan untuk Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) melantik Mohamad sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet baharu nanti,” katanya menerusi hantaran terbaru di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi juga berkata, pendekatan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Ismail Sabri bersifat inklusif bagi memfokuskan kesejahteraan rakyat dan pemulihan negara selaras Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, Pemuda Umno menggariskan tiga perkara yang mesti didahulukan segera.
“Tuntutan Rakyat meliputi permintaan penambahbaikan pakej bantuan rakyat termasuk moratorium tanpa faedah terakru, i-Citra KWSP RM10 ribu ‘one-off’, tambahan suntikan fiskal bantuan kerajaan dan lain-lain.
“Keduanya, vaksinasi perlu disegerakan dan diperluaskan bagi mencapai ‘herd imunity’ (imuniti kolompok) yang mampu mengurangkan risiko rakyat dijangkiti Covid-19 sehingga ke tahap memudaratkan nyawa dan kesihatan,” katanya.
Katanya, ‘Total Lockdown’ boleh dikaji semula supaya pendekatan separa masak sebelum ini tidak diulangi semula oleh pemerintahan baharu ini.
“Memandangkan virus hanya tersebar melalui pergerakan manusia, memutuskan rantaian virus hanya boleh dicapai jika penutupan penuh untuk tempoh masa terhad disertai dengan bantuan khas kepada rakyat dapat dilakukan,” katanya.
Menurutnya, dengan pembabitan semua parti politik tanpa mengira ideologi bukan sahaja pelan pemulihan mampu direalisasikan dengan berkesan, bahkan suhu politik negara dapat diturunkan dan gencatan senjata politik benar-benar dapat dilaksanakan.
Sumber | HM