
Lompat parti: Pemuda ini perli Bersatu, syukurlah dah insaf
Pemuda AMANAH Nasional ingin melahirkan rasa syukur atas kesedaran sayap Pemuda Bersatu (ARMADA) akan kesan buruk daripada tindakan lompat parti di negara ini.
Menerusi kenyataan Ketua Penerangan ARMADA, beliau secara jelas menyedari akan kepentingan agenda reformasi yang diperjuangkan Pakatan Harapan selama ini termasuk kepentingan Akta Lompat Parti.
Cuma apa yang menjadi kekesalan kami adalah Bersatu khususnya ARMADA hanya mula menyedari akan kepentingan agenda reformasi ini selepas kedudukan Perdana Menteri dari Bersatu berada di hujung tanduk.
Malah semasa ‘Langkah Sheraton’, Bersatu menjadi parti yang sedia menerima ahli-ahli parlimen yang hilang maruah politik apabila melompat secara beramai-ramai tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada tindakan tersebut sehingga tumbangnya kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat.
Adalah lebih baik sekiranya kesedaran ini timbul semasa Bersatu berada bersama PH dan semestinya semua agenda ini dapat dilaksanakan tetapi memilih untuk khianat demi kepentingan politik singkat dengan agenda “scheme of things” Presiden mereka pada ketika itu.
Walau bagaimanapun, kami menganggap kesedaran yang dizahirkan ARMADA adalah sesuatu yang baik demi merealisasikan agenda reformasi secara bersama, rentas parti demi Malaysia.
Namun harus diingatkan bahawa agenda reformasi ini sukar untuk dijayakan sekiranya mana-mana pihak cuba menangguk di air keruh dan menjadikannya sekadar penyelamat daripada ancaman politik semata-mata. Ia seharusnya dirancana dan dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh dengan meletakkan kepentingan negara di hadapan.
Justeru, Pemuda AMANAH Nasional ingin mengajak semua pihak untuk bersama-sama memahami agenda reformasi ini dan membantu menjayakannya.
MUHAMMAD TAQIUDDIN CHEMAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional