Asmuni saran beri diskaun kadar sewaan premis kerajaan, kurangkan beban peniaga kecil

Asmuni saran beri diskaun kadar sewaan premis kerajaan, kurangkan beban peniaga kecil

ADUN Manjoi, Dato’ Asmuni Awi menyarankan kepada Kerajaan Negeri Perak agar memberi pengurangan kadar sewaan para peniaga yang menyewa di premis-premis kerajaan.

Menurutnya, ini adalah salah satu usaha bagi mengurangkan bebanan peniaga kecil yang sangat terjejas teruk akibat pandemik Covid19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Kata beliau, biarpun mereka telah dibenarkan beroperasi, tetapi mereka masih terhimpit dengan kewangan dan keuntungan yang diperoleh sangatlah berbeza daripada kebiasaan.

“Saya mencadangkan agar penyewa-penyewa di premis kerajaan diberikan pengurangan ataupun diskaun kadar sewaan mereka.

“Ini kerana biarpun peniaga-peniaga kecil ini sudah dibenarkan beroperasi, namun pulangan keuntungan yang diperoleh adalah sangat berbeza berbanding kebiasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di DUN Perak, disini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi AMANAH Perak itu mencadangkan agar pihak kerajaan memberi bantuan geran secara one off kepada golongan ini untuk mereka memulakan kembali perniagaan.

“Saya mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kepada peniaga-peniaga kecil untuk memulakan kembali perniagaan mereka yang terjejas.

“Golongan ini tidak lagi mampu memulakan semula perniagaan kerana tidak mempunyai modal setelah mereka terpaksa tutup perniagaan mereka.

“Apalah sudi kiranya kerajaan memberi bantuan geran secara one off kepada golongan ini bagi mereka memulakan kembali sumber mata pencarian dalam menyara hidup mereka sekeluarga,” kata Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu.

CATEGORIES

COMMENTS