
Barisan Kabinet ‘recycle’, PH wajar teliti semula bentuk kerjasama dengan kerajaan, kata Taqiuddin
Pengumuman barisan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri jelas menunjukkan beliau ketandusan pemimpin yang berkebolehan untuk diberi tanggungjawab sebagai Menteri dalam kerajaan.
Dengan hanya membuat rombakan kecil untuk beberapa portfolio, sebahagian besar Menteri yang berada dalam kebinet semasa Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin mengetuai kerajaan dikekalkan meskipun telah terbukti gagal.
Dalam pada itu, barisan kabinet ini juga dilihat gagal menterjemah aspirasi rakyat yang mahu sebuah pasukan baharu yang lebih berwibawa untuk membawa Malaysia keluar dari masalah yang sedang dihadapi.
Pemuda AMANAH juga ingin melahirkan kebimbangan sama ada jalinan kerjasama antara kerajaan bersama Pakatan Harapan yang dirundingi baru-baru ini mampu mencapai agenda reformasi dalam menggubal dasar serta polisi pro-rakyat seperti yang dinyatakan.
Justeru, kami menggesa agar pertimbangan dan penelitian yang lebih mendalam dibuat oleh PH sebelum sebarang bentuk kerjasama atau persefahaman dimaterai bersama kerajaan.
Pemuda AMANAH bimbang sekiranya semua yang dipersetujui tidak ditunaikan seperti yang diharapkan, ia sekali gus mengheret PH bersama dalam menanggung kegagalan kerajaan di bawah pimpian Dato’ Seri Ismail Sabri ini.
*MUHAMMAD TAQIUDDIN CHEMAN*
*Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional*
27 Ogos 2021
18 Muharam 1443H