Peja jangan kartunkan sukan, jaga maruah pasukan Perak!

Peja jangan kartunkan sukan, jaga maruah pasukan Perak!

 

Pemuda AMANAH Perak menempelak tindakan Menteri Belia Dan Sukan yang baharu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang cuba menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk mencatur peraturan sukan. Ahmad Faizal dalam satu klip video tular berkata, beliau akan berjumpa dengan Malaysia Football League (MFL) bagi membincangkan mengenai pertambahan jumlah pasukan untuk beraksi di Liga Super. Pertambahan jumlah tersebut bagi menjamin pasukan Bola Sepak Perak kekal di Liga Super selepas pasukan itu berada di corot liga akibat prestasi hambar pada musim ini.

Kami berpandangan, tindakan Ahmad Faizal ini sangat-sangat tidak bertanggungjawab apabila menggunakan kedudukan beliau sebagai menteri untuk mempengaruhi peraturan sukan. Biarpun niat beliau adalah baik untuk menyelamatkan Skuad Seladang kesayangan rakyat Perak daripada jatuh ke Liga Perdana, namun cara yang beliau lakukan itu adalah sangat tidak bermaruah.

Tindakan menyelamatkan pasukan kesayangan dengan menggunakan kuasa bukanlah satu tindakan yang bermaruah, sebaliknya tindakan itu akan mencemar reputasi skuad Seladang yang merupakan pasukan yang disegani dalam arena bola sepak negara. Kami sangat yakin, penyokong setia dan seluruh rakyat Perak bukanlah mendambakan kejayaan menyelamatkan kedudukan pasukan dengan cara tidak bermaruah seperti ini.

Kami berpandangan, dalam menyelamatkan pasukan Perak bukanlah dengan cara ‘pintu belakang’ yang tidak bermaruah, sebaliknya beliau sewajarnya menasihati kepimpinan Kerajaan Negeri Perak mengambil tindakan drastik terhadap pengurusan bola sepak Perak. Semua sedia maklum pengurusan yang ada pada hari ini telah gagal mengurus pasukan hingga menyebabkan prestasi pasukan terumbang ambing.

Sebagai seorang menteri, beliau tidak sewajarnya menggunakan kedudukan untuk mencatur keputusan. Beliau sepatutnya bersikap adil dan profesional dengan tidak dipengaruhi dengan apa jua faktor.

KHAIROL NAJIB HASHIM
Ketua Pemuda AMANAH Perak
29 Ogos 2021

CATEGORIES

COMMENTS