Akta mencegah lompat parti tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan perlu dibentang segera – Kanun

Akta mencegah lompat parti tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan perlu dibentang segera – Kanun

1. Ketidakstabilan politik negara sejak lebih setahun lalu berpunca dari Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih rakyat pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) tumbang ekoran 21 Ahli Parlimen PH yang melompat parti dan bergabung dengan parti yang kalah semasa PRU14 lalu menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

2. Bermula dari saat itu, kerajaan PN yang dipimpin oleh Mahiaddin Mohd Yassin terus terumbang-ambing dan gagal menunjukkan prestasi yang membanggakan khususnya dalam mengurus pandemik Covid 19 yang menyaksikan jumlah kes positif dan kematian meningkat secara mendadak, ditambah pula dengan keadaan ekonomi negara yang semakin parah dan merudum. Ketidakcekapan pengurusan PN dalam kedua-dua perkara ini memberikan dampak yang sangat besar ke atas kehidupan rakyat yang sedia terbeban lantaran pandemik dan ketidaktentuan politik yang berpanjangan.

3. Seperti yang dijangka, kerajaan PN juga tidak kekal lama apabila sebilangan Ahli Parlimen UMNO pula menarikbalik sokongan terhadap Perdana Menteri dan meninggalkan PN. Lanjutan dari itu, kerajaan baru pula dibentuk atas sokongan rapuh 114 orang Ahli Parlimen sahaja.

4. Kedudukan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri juga dilihat agak goyah dan bila-bila masa sahaja kerajaannya boleh juga dijatuhkan sekiranya 4 orang sahaja Ahli Parlimen menarikbalik sokongan atau melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Jika ini berlaku, maka rakyatlah yang akan menjadi mangsa sekali lagi akibat kerakusan, gila kuasa dan sikap pentingkan diri sendiri yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat ini.

5. Justeru itu, Biro Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara merasakan sudah sampai masanya *Akta Mencegah Lompat Parti*(anti-party hopping law) diwujudkan dengan segera bagi mengekang perilaku jelek para politikus yang boleh memudaratkan kestabilan politik negara, menggugat ketenteraman awam di samping menafikan dengan jelas mandat rakyat yang memilih semasa pilihanraya.

6. Penggubalan Akta Mencegah Lompat Parti ini tidak sama sekali bercanggah atau bertentangan dengan *Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan* berhubung dengan kebebasan seseorang untuk berpersatuan. Rasionalnya ialah kerana undang-undang seharusnya berperanan untuk melindungi hak majoriti rakyat secara keseluruhan dan bukannya untuk mempertahankan “kebebasan asasi” individu atau parti politik tertentu yang mempunyai kepentingan politik sempit yang menyusahkan rakyat dan memudaratkan negara.

7. Malah, hak-hak kebebasan asasi yang dijamin di bawah Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan bukanlah bersifat mutlak (absolute), tetapi di bawah *Perkara 10(2)(c )* Parlimen boleh melalui kuatkuasa undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral, dan ini termasuklah menghormati mandat dan pilihan yang dibuat rakyat melalui proses pilihanraya.

8. Sekiranya mereka yang dipilih dalam sesuatu pilihanraya dengan sewenang-wenangnya mengubah pendirian atau melompat ke parti atau kumpulan yang lain dengan dijanjikan tawaran atau habuan tertentu, ini sudah pasti akan mengikis kepercayaan rakyat ke atas proses demokrasi yang sekian lama diamalkan di negara ini.

9. Amatlah dibimbangi sekiranya perkara ini tidak dibendung, rakyat akan memilih cara lain yang dikhuatiri boleh memudaratkan keselamatan negara akibat hilangnya kepercayaan terhadap proses pilihanraya lantaran sikap segelintir wakil-wakil rakyat yang melompat ini.

10. Apapun mekanisme yang akan dicadangkan nanti, KANUN berharap agar Akta Mencegah Lompat Parti ini dapat dibentang dengan segera dan disokong sepenuhnya oleh ahli-ahli Parlimen di pihak kerajaan dan pembangkang serta dikuatkuasakan sebelum PRU15 yang akan datang.

11. Proses demokrasi berparlimen perlu terus dipertahankan dan suara rakyat untuk memilih wakil mereka sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri perlu sentiasa dihormati. Biarlah peristiwa hitam Langkah Sheraton tinggal menjadi titik hitam dalam sejarah demokrasi Malaysia yang tidak harus diulangi lagi di masa-masa yang akan datang.

AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Biro Undang-Undang (KANUN)
Parti Amanah Negara
31 Ogos 2021

CATEGORIES

COMMENTS