Kanun sambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berkenaan #Undi18

Kanun sambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berkenaan #Undi18

*KENYATAAN MEDIA BIRO UNDANG-UNDANG PARTI AMANAH NEGARA (KANUN)*

3 SEPTEMBER 2021

*KANUN SAMBUT BAIK KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUCHING BERKENAAN #UNDI18*

1. Biro Undang-Undang Parti AMANAH Negara (KANUN) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini berkenaan #Undi18.

2. Semakan Kehakiman yang difailkan oleh 5 orang anak muda dari Sarawak ini telah didengar di hadapan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai.

3. Mahkamah Tinggi antara lain memutuskan menolak rancangan kerajaan sebelum ini untuk hanya mengimplementasi #Undi18 pada September 2022 dan menyatakan bahawa rancangan ini adalah tidak relevan dan tidak sah dari segi undang-undang. Mahkamah juga mengarahkan supaya #Undi18 diimplementasi selewatnya pada Disember tahun ini.

4. Justeru, KANUN menyeru supaya pihak Kerajaan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching ini dan seterusnya tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan ini.

5. Sebaliknya, Kerajaan perlu bertindak segera merealisasikan dan mengimplementasi #Undi18 secepat mungkin sebagai sebahagian dari agenda reformasi yang dipersetujui secara bersama antara Kerajaan dan Pembangkang.

6. KANUN juga mengambil maklum bahawa satu semakan kehakiman juga berkenaan implementasi #Undi18 akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 22 Oktober ini dan berharap supaya Mahkamah akan membuat keputusan yang sama agar #Undi18 ini dapat diimplementasikan sesegera mungkin seterusnya undang-undang menjadi seragam dan harmoni di seluruh negara menjelang Pilihanraya Umum 15 akan datang.

7. Akhirnya, KANUN mengucapkan Tahniah pada anak-anak muda ini atas keberanian mereka untuk melawan tindakan bobrok Kerajaan menafikan #Undi18 yang telah berjaya dipinda di bawah Kerajaan Pakatan Harapan. Keputusan ini sekaligus bakal memberikan impak yang besar dalam Pilihanraya Negeri Sarawak dan Pilihanraya Umum 15 tidak lama lagi.

Sekian.

*FADHLI UMAR AMINOLHUDA*
*NAIB PENGERUSI 2*
*BIRO UNDANG-UNDANG PARTI AMANAH NEGARA (KANUN)*

Sumber | Facebook Fadhli Umar Aminolhuda

CATEGORIES

COMMENTS