
Panas! Ustaz Abu Miskhat tempelak PU Syed
Apa ancaman sebenar masyarakat Melayu kampung?
PU Syed post ceramah live dia tentang bahaya Islam Liberal di surau Kg. Durian Burung, K. Terengganu dalam grup Alumni al-Azhar. Jarak kampung itu dengan kampung saya dalam 10km, memang laluan saya untuk ke bandar Kuala Terengganu.
Bagi kebanyakan pemerhati, ancaman sebenar kpd rakyat Terengganu dan juga Kelantan bukanlah ancaman Islam liberal, tapi ancaman penagihan dan pengedaran dadah dalam kalangan anak muda, selain ancaman perzinaan remaja bawah umur (diklasifikasikan sebagai rogol di bawah undang2).
Gejala penagihan dadah di kampung2 di Terengganu itu tidak dapat diatasi kerana amalan rasuah dalam kalangan sebahagian anggota polis balai dan negeri. Pengedar dadah tidak ditangkap kerana sering bolos dalam operasi, melainkan jika operasi itu datangnya dari Bukit Aman tanpa melalui polis tempatan.
Kita tidak menyalahkan polis sepenuhnya dalam hal ini. Peningkatan kes penagihan dadah bermula dari kegagalan pendidikan di rumah, di sekolah dan peranan pihak berkuasa negeri.
Jika ditanya kepada ibu bapa, sudah tentu mereka berkata mereka sudah mendidik anak2 mereka. Mereka sudah menyekolahkan anak mereka. Pihak sekolah juga berkata mereka sudah mendidik, tetapi apa nak buat jika murid itu sendiri ponteng sekolah pergi hisap dadah.
Polis pula hanya menjadi penyambut kepada masalah itu, dalam keadaan sebahagian daripada mereka tiada kekuatan dan kesedaran yang tinggi untuk membanteras gejala dadah dalam kalangan anak Melayu. Dengan tawaran lumayan, sudah tentu ada yang tewas. Yelah, polis pun nak pakai kereta berjenama dan memiliki rumah besar juga. Dalam kalangan anggota polis yang terlibat, mereka menggelar taukey dadah atau apa2 aktiviti haram yang menyuap mereka itu sebagai ‘lembu susu’ di mana mereka mendapat ‘susu’ setiap bulan.
Jadi masalah penagihan dadah tidak selesai di kampung2 malah lebih teruk daripada di bandar. Maka kerajaan negeri yang diamanahkan kuasa wajib mengadakan program khusus melibatkan semua pihak dan agensi terlibat secara serius dan strategik.
Soalnya kenapa kerajaan yang dilaungkan sebagai kerajaan paling Islam masih gagal membendung masalah penagihan dadah dalam kalangan pemuda Islam khususnya di Terengganu dan Kelantan?
Persoalan itu yang sepatutnya dikuliahkan oleh ustaz selebriti seperti PU Syed. Walaupun Islam liberal itu juga bahaya, tetapi masalah penagihan dadah lebih bahaya di kampung2 di Terengganu dan Kelantan. Jadi anda sepatutnya tahu tajuk apa lebih utama untuk diceramahkan agar ibu bapa dan masyarakat Islam di sana membuka mata. Tidak perlu anda ceramahkan ancaman yang sukar masyarakat nak faham kerana wujudnya bagai tak wujud, sedangkan masalah budak dadah yang mencuri barang2 di rumah dan hasil tanaman orang kampung, bahkan ada yang merompak dan membunuh warga emas adalah ancaman harian.
Cuba anda tanya kerajaan Terengganu, adakah setiap YB mempunyai data lengkap berapa keluarga yang ahlinya ada penagih dadah dalam kawasan DUNnya? Saya percaya tak ada YB yang boleh memberi jawapan yang meyakinkan. Soalan kedua, tanya kerajaan Terengganu apa program khusus strategik pembasmian dadah dalam kampung yang diadakan sejak memenangi PRU 2018 di Terengganu?
Anda sepatutnya mengajar masyarakat Terengganu bertanya kerajaan atau YB mereka tentang akauntabiliti sebagai wakil rakyat. Tugas wakil rakyat bukan sekadar jadi khatib Jumaat, hadir kenduri kahwin dan doa selamat, atau buat kursus pengurusan jenazah. Itu peranan imam2 yang sudah dilantik dan dibayar elaun. Jadilah YB yang lebih cerdik dan tahu apa nak buat terhadap masalah meruncing penagihan dadah anak muda.
Tak perlulah anda sebagai ustaz selebriti ikut angin memainkan politik keagamaan untuk keuntungan sementara politik golongan tertentu. Buang masa dan tak menyelesaikan masalah umat. Orang kampung di Terengganu tak pandai nak fikir dan tak pandai nak tanya tanggungjawab wakil rakyat mereka terhadap permasalahan mereka. Ajarlah mereka kesedaran menggunakan kedudukan politik wakil rakyat untuk mengatasi masalah yang benar2 mereka hadapi. Pengisian ceramah tentang masalah yang mereka nak sebut pun tergeliat lidah atau sangat jauh daripada realiti kehidupan mereka tidak banyak manafaatnya, sekadar ada program surau sajalah.
Ustaz selebriti dan tokoh masyarakat sepatutnya menjadi jurucakap masyarakat tentang isu sebenar mereka, bukan mengheret mereka untuk mendengar masalah lain yang boleh menambahkan lagi kekusutan masalah sedia ada.
Sekian, sekadar mahu muhasabah, bukan untuk menyalah.
Sumber | Facebook Abu Mishkat