Mengenang Shazni Munir: Negara dahagakan pemimpin muda, bosan dengan pemimpin tua

Mengenang Shazni Munir: Negara dahagakan pemimpin muda, bosan dengan pemimpin tua

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata bakat pemimpin muda perlu lebih giat dicungkil serta digilap kerana Malaysia dahagakan pemimpin muda dan ramai yang sudah bosan dengan pemimpin tua.

Menurutnya, sistem yang baik untuk mengesan dan menyaring bakat kepimpinan muda sangat diperlukan sebelum ia dapat dilahirkan.

Hal itu, katanya, dapat dipelajari daripada kepemimpinan dipamerkan bekas ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Shazni Munir Mohd Ithin.

“Apa yang dapat kita pelajari daripada Shazni Munir ni ialah bakat kepimpinan muda perlu dicungkil dan kita harus ada sistem yang baik untuk mengesan serta menyaring.

“Hal ini kerana Malaysia sangat dahagakan pemimpin muda dan pada masa sama kita sudah bosan juga dengan pemimpin tua,” katanya.

Tambah Sheikh Umar itu yang berlaku kepada Shazni Munir apabila dia dilatih dan dibentuk selepas bakatnya dicungkil semasa menuntut di Universiti Malaya.

Bakat kepimpinan itu, katanya, bukanlah lahir secara tiba-tiba.

Sheikh Umar berkata demikian dalam sesi dialog Tribute Shazni Munir Siri 1: Lambang Pengorbanan anjuran NextStep Malaysia yang berlangsung semalam.

Selain mengetuai Pemuda PH, Shazni Munir, 34, juga merupakan ketua Pemuda Amanah semasa hayatnya. Dia meninggal dunia pada 6 Ogos lalu selepas dijangkiti Covid-19.

Sheikh Umar yang juga sahabat sepengajian Shazni Munir berkata, selain menjadi pemimpin arwah juga boleh menjadi pengikut yang baik.

“Saya masih ingat dalam satu kejadian semasa dia menjadi ketua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat.

“Dia meletakkan jawatan selepas tindakannya menghukum pelajar nakal tidak diterima pihak sekolah,” katanya.

Hadapi tekanan di universiti

Sheikh Umar juga menceritakan bagaimana Shazni Munir sanggup mengambil jalan susah untuk terus terjun dalam dunia politik serta ambil pelbagai risiko.

Di universiti, katanya, setengah orang yang dilatih mengambil keputusan untuk tidak terlibat secara lansung dalam politik dengan melakukan kerja lain dan pada masa sama memberi sumbangan tidak langsung kepada parti.

Namun katanya ia berbeza dengan Shazni Munir.

“Tidak semua orang boleh mengambil langkah seperti Shazni Munir ni. Dia terlibat secara langsung dalam politik serta mengambil posisi yang berisiko seperti berada di barisan hadapan sehingga ditangkap,” terangnya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre Azlan Zainal yang juga senior sepengajian Shazni Munir berkata, semua perkara yang dilalui arwah pada peringkat mahasiswa adalah proses yang berkaitan dengan apa yang dipercayainya.

Ketika di kampus, katanya, antara perkara yang dibincangkan berkait rapat dengan isu-isu kalangan mahasiswa yang perlu mereka juarai sendiri.

Tambahnya, kebanyakan aksi-aksi yang diserta Shazni Munir pada zaman kampus telah membentuk karisma dan wibawanya sehingga ia kemudian diasah dalam politik kemudiannya.

“Ada satu kes antara yang paling besar dilalui Shazni Munir semasa di Universiti ialah membabitkan Rosmah Mansor dan ketika itu Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sangat ditekan,” katanya.

Menurut Azlan juga, ada orang bertanya kenapa Shazni Munir tidak menamatkan pengajiannya selepas berdepan dengan tekanan yang hebat.

“Dia cuba menghabiskannya tapi situasi mungkin dia tertekan, ditambah pula kekangan kewangan yang tidak mengizinkan.

“Saya boleh sahkan dia pernah hubungi kami untuk meminta duit kerana ketika itu dia selalu terpaksa makan dedak (beras hancur).

“Pada ketika lain dia pernah meminta bantuan untuk mengisi minyak motosikalnya kerana kehabisan duit untuk membeli bahan itu,” jelas Azlan sebak.

Sumber | MK

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )