Lebih 300 penduduk dikuarantin terima bantuan makanan – Nakhaie

Lebih 300 penduduk dikuarantin terima bantuan makanan – Nakhaie

Lebih 300 penduduk yang dikuarantin telah menerima bantuan bekalan makanan sumbangan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Muhammad Nakhaie Abdul Wahab berkata, sumbangan itu diberikan supaya penduduk terbabit tidak terputus bekalan makanan dan dapat mengurangkan pergerakan bagi memutuskan rantaian COVID-19.

“Sehingga September tahun ini, sudah lebih 300 penduduk yang dikuarantin di rumah telah menerima bantuan bekalan makanan sumbangan Ahli Parlimen Parit Buntar.

“Bantuan makanan berisi barangan dapur dan barangan basah seperti ayam dan daging sudah disalurkan sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)” katanya ketika ditemui Wartawan Perak Insight semasa menyampaikan bantuan makanan kepada sebuah keluarga yang dikuarantin di rumah di Jalan Terusan, Titi Serong.

Nakhaie yang juga Ketua Pemuda AMANAH Parit Buntar berkata, peningkatan kes untuk dua bulan terakhir ini menyebabkan pertambahan penduduk yang dikuarantin di rumah.

“Bagi dua bulan terakhir ini, setiap hari purata lima orang penduduk yang dikuarantin telah menerima bantuan makanan yang dihantar ke rumah.

“Kebanyakan penduduk yang dikuarantin mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang positif COVID-19” katanya.

Menurutnya, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar mendapat banyak maklumat penduduk yang dikuarantin di rumah melalui orang ramai yang menyampaikan maklumat melalui aplikasi Whats Apps dan facebook.

“Setiap hari Pusat Khidmat menerima maklumat dari orang ramai yang prihatin memaklumkan orang yang mereka kenali memerlukan bantuan makanan kerana dikuarantin di rumah.

“Setelah menerima maklumat, kami meminta AMANAH Cawangan mengenalpasti mereka yang diarahkan KKM berkuarantin di rumah ini dan menghantar bantuan makanan kepada mereka di rumah” katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa telah berusaha mencari dana bagi menampung kos membeli barangan makanan ini untuk disumbang kepada dikuarantin.

“Ahli Parlimen Parit Buntar tidak mendapat peruntukan sebagaimana Ahli Parlimen dari kerajaan, jadi dana perlu dicari untuk membantu penduduk yang dikuarantin yang bertambah setiap hari.

“Beliau amat prihatin serta komited dan mengambil berat akan kesulitan dan kebajikan penduduk yang menjalani kuarantin di rumah supaya tidak terputus bekalan makanan bagi mengelakan jangkitan dan penularan wabak kepada orang lain,” katanya.

Tambahnya, selain memberi bantuan kepada penduduk dikuarantin di rumah , Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar juga membantu Program Imunisasi COVID-19 dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Parit Buntar.

“Kami membantu membuat pendaftaran vaksin kepada penduduk terutama warga emas dan tidak mahir menggunakan aplikasi My Sejahtera.

“Kami juga membantu PPV menyediakan pengangkutan kepada orang OKU untuk mendapat vaksin serta pengangkutan pulang kepada pesakit sembuh COVID-19 yang tiada pengangkutan dari Hospital di luar Parit Buntar”.

Nakhaie turut mengingatkan masyarakat setempat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan pihak berkuasa memandangkan peningkatan jangkitan wabak COVID -19 di Parit Buntar masih membimbangkan.

“Memandangkan virus ini sudah berada di dalam komuniti kita, sebaiknya kita fahami langkah pemantauan kendiri dengan mengamalkan nasihat serta langkah-langkah yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM)

“Marilah bersama-sama kita membantu frontliner dalam usaha kita memutuskan rantaian COVID-19 “ katanya.

CATEGORIES

COMMENTS