Terkini! Kerajaan dan pembangkang tandatangan perjanjian

Terkini! Kerajaan dan pembangkang tandatangan perjanjian

Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini melakar sejarah apabila julung kali memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu kenyataan susulan pemeteraian MoU itu berkata, MoU itu membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah.

“Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya.

Ismail Sabri berkata, titah hasrat Seri Paduka ialah semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

“Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau turut merakam setinggi penghargaan kepada ahli-ahli Parlimen yang telah membulatkan tekad, mengetepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menandatangani MoU itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ismail Sabri yang mengumumkan perkara itu berkata, tawaran ini bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Katanya, transformasi itu memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

Tujuh tawaran itu ialah:

* Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

* Pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan

* Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun

* Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang

* Setiap Rang Undang-Undang, termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama

* Ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

* Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri Selain tujuh tawaran itu, kerajaan juga komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa

Sumber | BH

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )