Rentas negeri: Taqiuddin gesa kerajaan bentang perancangan dan SOP

Rentas negeri: Taqiuddin gesa kerajaan bentang perancangan dan SOP

KERAJAAN PERLU BENTANG PERANCANGAN DAN SOP UNTUK BENARKAN RAKYAT RENTAS NEGERI

Merujuk kepada kenyataan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkenaan kebenaran merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), Pemuda AMANAH mendesak supaya kerajaan segera membentangkan perancangan yang telah dibuat dan apakah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan bagi membolehkan rakyat bergerak merentas negeri.

Kami juga ingin mempersoalkan kepada pihak kerajaan, apakah ada perbezaan dalam penetapan gelembung pelancongan Langkawi dengan pergerakan merentas ke negeri lain?

Sekiranya kebenaran merentas negeri tidak dibenarkan pada waktu terdekat, rakyat berhak untuk mengetahui apakah pelan yang dibuat oleh kerajaan bagi membenarkan rakyat bergerak merentas negeri selepas 8 bulan arahan larangan tersebut dikuatkuasakan.

Kerajaan wajar memberi kelonggaran yang bersesuaian kepada rakyat yang telah lengkap divaksin dan menyediakan SOP lebih awal supaya rakyat dapat bersedia untuk mematuhi SOP yang digariskan.

Kes kematian yang berpunca daripada tekanan perasaan akibat tidak dapat bertemu keluarga, kesempitan hidup dan kemurungan melampau yang berlaku sebelum ini seharusnya menjadi pengajaran.

Sehubungan itu, pihak kerajaan mesti mengambil langkah pro aktif supaya insiden sedemikian tidak lagi berulang.

Justeru, kami mendesak agar kerajaan menyemak semula keputusan dan membuat pertimbangan sewajarnya untuk memberi kebenaran rentas negeri kepada rakyat yang memenuhi syarat atau setidak-tidaknya membentangkan perancangan dan SOP yang akan dikenakan bagi membolehkan rakyat bergerak merentas negeri.

MUHAMAD TAQIUDDIN CHEMAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional

CATEGORIES

COMMENTS