
Setelah Pas duduk dalam kerajaan, peguam ini harap Menteri Agama berani bawa hujah agar hudud dilaksanakan
Pagi Jumaat yang mulia ini tiba-tiba saya teringat satu hantaran di Facebook beberapa tahun lepas berkenaan usaha YB Mujahid Yusof Rawa untuk memperkasa pentadbiran undang-undang syariah di Malaysia yany dibentangkan di parlimen.
Seorang sahabat dari pemuda Pas datang memberikan ulasan, yang secara ringkasnya dia mengatakan bahawa usaha itu tidak cukup, hudud perlu dilaksanakan dan RUU355 mesti dilaksanakan. Sahabat ini bijak, tapi walaubagaimanapun diberikan penjelasan dengan fakta dan pemahaman undang-undang, dia tetap berpendirian bahawa Amanah tunduk kepada tekanan parti lain khususnya DAP.
Jujur saya mendoakan, dia membaca tulisan saya ini. Dan saya mendoakan dia masih istiqamah dengan pendapatnya bahawa siapa yang tidak melaksanakan hudud, telah gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah.
Maka pada hari ini, apabila Pas menjadi sebahagian dari kerajaan, dan menterinya ialah YBS Ust Idris Ahmad , saya mendoakan dia diberikan keberanian membawa hujahnya ke hadapan dan memperjuangkan agar hudud dilaksanakan.
Kerana kuasa sudah di tangan mereka, tidak boleh hanya membenci di dalam hati, lisan dan tangan mereka harus diguna sebagai orang yang beriman.
Salam Jumaat.
Sumber | Haris Alimudin