
Peguam ini dedah peranan Menteri Agama dalam Tabung Haji
Terfikir juga kenapa tidak nampak mana-mana laporan akhbar berkaitan kenyataan Menteri Agama baharu mengenai laporan tahunan Tabung Haji. Apakah tiada mana-mana pegawai yang boleh beri taklimat kepadanya tentang isu ini atau tiada pelaporan dibuat?
Kalau tengok Laporan Tahunan 2018, 2016, 2015 mesti ada kenyataan Menteri Agama. Namun, dalam Laporan 2019 tiada apa-apa kenyataan dari mantan Menteri atau Menteri Agama yang baharu (Tahun 2017 tiada laporan tahunan dimuatnaik dalam portal Tabung Haji).
Sedangkan jika dilihat Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) ini kuasa Menteri memang luas. Boleh lantik, boleh pecat, boleh bagi elaun dan boleh minta apa-apa maklumat.
Isu Tabung Haji ini isu penting kerana melibatkan satu institusi besar yang berkait rapat dengan rukun Islam ke 5. Sewajarnya Menteri Agama yang baharu boleh mengulas mengenai prestasi Tabung Haji khasnya dari segi kewangan dan tata kelola selepas isu Tabung Haji ini jadi kecoh semenjak 2018 dan melalui proses penstrukturan semula. Baharulah nampak sejahtera dan matang.
Ini juga akan memberikan gambaran penting bahawa Menteri Agama juga mampu menguasai ilmu pentadbiran dan bukan setakat mampu untuk membuat lawatan kerja atau setakat bergambar memberikan sumbangan cek sahaja.
Kalau tengok prestasi Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dulu dalam isu Tabung Haji ini nampak begitu dikuasainya walaupun ramai yang tohmah kata dia jual aset Tabung Haji, Tabung Haji dikuasai oleh orang kafir dan lain-lain lagi.
Sumber | Zulqarnain Lukman