Salah guna lesen AP berleluasa, kenderaan tanpa AP diiimport ke Malaysia, kata Ketua Audit Negara

Salah guna lesen AP berleluasa, kenderaan tanpa AP diiimport ke Malaysia, kata Ketua Audit Negara

Aktiviti import kenderaan terpakai, atau lebih dikenali sebagai ‘kereta recond’, terdedah kepada penyalahgunaan yang berleluasa. Penyalahgunaan terjadi apabila tiada koordinasi antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) yang mengeluarkan lesen AP Terbuka (Open AP) dengan Jabatan Kastam yang membenarkan kenderaan tersebut masuk melalui pelabuhan.

Isu ini dibangkitkan di dalam siri kedua laporan Ketua Audit Negara 2019 yang dikeluarkan semalam.

Menurut laporan itu, Jabatan Audit Negara telah melakukan audit fizikal di Pelabuhan Klang, bersama-sama dengan wakil dari Kastam dan Puspakom pada 23-Julai 2020.

Susulan daripada pemeriksaan tersebut, pasukan audit memperolehi senarai kereta terpakai yang diimport di pelabuhan pada 31-Julai 2020. Senarai itu mempunyai 139 kereta yang diimport oleh 26 pemegang AP Terbuka.

Daripada 139 kereta, 11 kereta didapati diimport tanpa lesen AP Terbuka.

Pasukan audit turut mendapati bahawa kereta ini telah diparkir di pelabuhan selama antara 17 hingga 38 bulan, tetapi tiada tindakan yang diambil.

Untuk baki 128 kereta, 12 didapati memohon AP Terbuka hanya selepas kenderaan tiba di pelabuhan. Hal ini bertentangan dengan syarat permohonan AP yang memerlukan permohonan disediakan sebelum kereta memasuki pelabuhan.

Pemeriksaan silang dengan sistem ePermit juga mendapati bahawa 4 kereta diimport oleh syarikat yang berbeza dengan syarikat yang didaftarkan dalam sistem. Namun, kereta-kereta ini masih dilepaskan oleh pelabuhan walaupun memiliki dokumen tidak selaras.

Jabatan Kastam pula telah menjawab pasukan audit mengenai status 4 kereta tersebut, dengan maklum balas terakhir diterima pada 1 Jun 2021.

Dalam kenyataan Kastam, 2 dari kereta yang dilepaskan telah disita pada 20 Oktober 2020, manakala 1 lagi telah disita pada 24-Mei 2021. Namun, mereka belum dapat mendapatkan kenderaan terakhir, yang dibawa keluar dari pelabuhan pada 6-Ogos 2020. Masalah ini juga telah telah dibawa ke bahagian Penyiasatan Penguatkuasaan Jabatan Kastam.

Bagi 11 kereta yang diimport tanpa AP Terbuka, semuanya telah disita. Kastam sedang dalam proses mendapatkan kenyataan daripada pengarah syarikat yang mengimport antara 3 buah kereta tersebut.

Pasukan audit juga mendapati bahawa MITI tidak dapat mengesan kes-kes ketidakpatuhan kerana MITI tidak dapat memantau kenderaan di pelabuhan.

Ia turut menambah bahawa MITI hanya memproses aplikasi berdasarkan dokumen yang didaftarkan oleh syarikat pemegang lesen AP ke dalam sistem ePermit, tanpa pemeriksaan silang dengan maklumat yang disimpan oleh Jabatan Kastam.

Sumber | Wapcar

CATEGORIES

COMMENTS