
Bila dah dekat pilihanraya, Peja mula turun padang, jumpa pengundi
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau perlu bekerja lebih kuat bagi menghadapi Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador bukanlah calang-calang orang.
“Saya berasa saya perlu bekerja lebih kuat lagi sebab orang yang naik bertanding dengan saya ini bukan calang-calang orang, yang saya kira tahap boleh jadi Perdana Menteri.
“Jadi tentunya saya kena kerja lebih kuat untuk memastikan saya terpilih sekali lagi di Parlimen Tambun ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat sebuah keluarga yang memerlukan rumah di Manjoi, di sini, hari ini.
Ditanya kemungkinan beliau terus kekal di Tambun, Ahmad Faizal berkata, apa yang lebih penting sekarang ialah beliau melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Yang penting sekarang ni, tengah ada umur, tanggungjawab dan jawatan, kena buat kerja.
“Harapan di masa akan datang saya harap saya boleh terus dapat menabur bakti,” ujarnya.
Selain Tambun, Menteri Belia dan Sukan itu berharap dapat berkhidmat lebih baik di kawasan Dewan Undangan Negeri Chenderiang yang memerlukan lebih banyak pembangunan.
Pada 25 September lalu, Farhash Wafa Salvador menegaskan beliau mungkin akan bertanding di mana sahaja Ahmad Faizal bertanding kerana Timbalan Presiden Bersatu itu dilihat sebagai calon ‘heavyweight’.
Sumber | SP