Dr Mujahid guna pendekatan beri ‘pancing’ bantu penduduk tambah pendapatan

Dr Mujahid guna pendekatan beri ‘pancing’ bantu penduduk tambah pendapatan

Konsep ‘beri pancing, bukannya ikan’ menjadi antara pendekatan digunakan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa bagi memastikan penduduk mendapat bantuan dengan lebih berkesan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Muhamad Nakhaei Abdul Wahab berkata, menerusi pendekatan itu, pelbagai inisiatif seperti bantuan peralatan telah dijalankan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar bagi membantu penduduk menambah pendapatan.

“Seperti contoh, ada penduduk yang ingin berniaga aiskrim dan kek, kita akan bantu beri sumbangan peti ais untuk ruang simpanan tambahan bahan mentah.

“Setakat ini, Pusat Khidmat hanya mampu memberi bantuan peralatan yang tidak melibat kos tinggi kerana Ahli Parlimen Parit Buntar tidak mendapat peruntukan kerajaan “ katanya dalam wawancara bersama Wartawan Perak Insights di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar.

Nakhaei yang juga Ketua Pemuda AMANAH Parit Buntar berkata, data terkini sejak pandemik COVID-19 melanda menunjukkan ramai penduduk Parit Buntar terkesan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

“Situasi ini membuatkan Ahli Parlimen Parit Buntar mengiatkan usaha mencari dana bagi mempelbagaikan bentuk bantuan bertujuan membantu penduduk Parit Buntar yang terkesan.

“Antara bantuan peralatan untuk menambah pendapatan yang telah diberi kepada penduduk terkesan ialah mesin penyembur racun dan benih, mesin tebu, mesin jahit, mesin rumput dan banyak lagi bantuan berkonsep ‘beri pancing” katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Parit Buntar juga ada kalanya meninjau perkembangan penduduk yang pernah dibantu.

Menurut Nakhaei, apabila kerajaan membenarkan aktiviti bersemuka, Pusat Khidmat bercadang mengadakan latihan dan kursus membimbing penduduk yang terkesan menceburi bidang baru untuk menambah pendapatan seperti kursus fertigasi dan perniagaan online.

“Dengan ilmu, mereka akan diajar cara menceburi bidang baru yang betul supaya mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita perlu membimbing penduduk yang terkesan untuk ikhtiar hidup supaya mereka tidak lagi terlalu berharap kepada bantuan semata-mata,” katanya.

Tambahya, pendekatan beri ‘pancing’ tidak bermakna Ahli Parlimen Parit Buntar tidak memberi bantuan secara terus kepada penduduk di Parit Buntar.

“Kami akan bergerak menyampaikan bantuan kepada penduduk terkesan melalui maklumat orang ramai.

“Malah, setiap hari kami turun menyampaikan bantuan kepada penduduk yang diarahkan menjalani kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)” katanya.

Sementara itu, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar juga membuat kerjasama dengan Dana Infaq Penjaja Kecil dan telah berjaya membantu seorang penjual secara COD di Taman Harmoni, Parit Buntar untuk membaiki kereta niaganya yang rosak.

Penjaja kecil yang terputus modal untuk membaiki kereta untuk perniagaan dan ingin buat rayuan awam? Whatsapp Dana Infaq Penjaja Kecil klik: https://wa.me/60134479711

CATEGORIES

COMMENTS