
Panas! Idris Haron bongkar cerita dalaman kerajaan Umno Melaka, memang mengejutkan
Bekas Ketua Menteri Melaka yang terbabit dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri, Idris Haron, mendakwa beliau hanya dipergunakan untuk melindungi isu dan individu tertentu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu berkata, saluran parti untuk bersuara, termasuk menegur, ditutup rapat.
“Saya hanya digunakan untuk melindungi isu-isu yang melanda, pada ketika itu lembut gigi daripada lidah, mohon ihsan, ‘jika ada orang bantai saya nanti YB ‘cover’ saya tau’,” katanya dalam kenyataan.
“Dari segi struktur parti, tiada ruang walaupun saya menang dalam PRU (pilihan raya umum) dipilih oleh majoriti, bukan sahaja ditolak, tetapi dinafi dan dicerca.
“Dalam mesyuarat Exco kerajaan, saya antara yang paling banyak menegur dan mengingatkan ahli mesyuarat termasuk KM (Ketua Menteri), boleh semak rakaman mesyuarat, sehingga mengingatkan ahli mesyuarat supaya menghormati keputusan mesyuarat yang tertinggi dalam negeri, namun ingatan itu sia-sia kerana ada lagi kuasa tertinggi selepas itu.”
Selain Idris, Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan menarik sokongan terhadap Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri pada Isnin lalu.
Tindakan mereka menyebabkan kerajaan negeri tumbang sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Idris berkata, tindakan beliau dan tiga ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri bukannya satu bentuk “politiking”.
“Tindakan empat ADUN ini bukan tindakan berpolitiking, tindakan menasihati TYT (Yang Dipertua Negeri) untuk membubarkan DUN yang membawa kepada pilihan raya negeri ketika hilang majoriti itulah berpolitiking dan bercanggah titah Yang di-Pertuan Agong, apa lagi ia tidak menurut semangat perlembagaan dan boleh mencemar kewibawaan institusi TYT.”
Beliau turut membangkitkan isu individu dalam parti dan kerajaan negeri yang bertindak sebagai “King”, selain Ketua Menteri sendiri.
“Saya yakin semua mengetahui, tapi menyimpannya dalam hati siapa ‘King’ dan siapa ‘CM’ (Ketua Menteri), ia bukan persepsi, saya tak rela diperlaku demikian. Ini adalah tindakan terbaik bagi membuka mata semua.”
Mengulas “kerjasama” dengan parti komponen Pakatan Harapan, katanya, beliau akan bersama pihak yang mempunyai prinsip menegakkan keadilan sosial dan kesejahteraan sejagat.
“Siapa sahaja yang melanggar prinsip berkenaan akan merendahkan nilai dan tarafnya, dalam semangat demokrasi kita menghormati majoriti dan menyantuni minoriti, saya tidak melihat minoriti sebagai musuh negeri atau ‘enemy of the state’, walaupun saya pernah disisih sedemikian.”
Beliau bagaimanapun enggan melayan spekulasi mendakwa dirinya akan menjadi Ketua Menteri sekali lagi.
“Menduduki kerusi Ketua Menteri ini bukannya seperti tukar pakaian,” katanya.
Sumber | FMT