Terkini! YADIM beri penjelasan isu YDP YADIM menginap di rumah tamu

Terkini! YADIM beri penjelasan isu YDP YADIM menginap di rumah tamu

Pemindahan wang daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepada anak syarikat Lembaran Yadim Sdn Bhd (LYSB) atas persetujuan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM pada 12 November tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, berkata pemindahan dana kepada LYSB yang dimiliki sepenuhnya YADIM, membabitkan jumlah RM1 juta.

“Mesyuarat khas itu bersetuju dengan pelan pelaburan jangka sederhana YADIM bagi meningkatkan dana dan pendapatannya yang membabitkan suntikan modal sebanyak RM500,000 dan pinjaman mudah sebanyak RM500,000 kepada LYSB.

“Ini bagi memulihkan kembali kedudukan kewangan anak syarikat yang mencatatkan kerugian terkumpul sejak kepimpinan YADIM sebelum ini, sekali gus memberi modal kepada anak syarikat terbabit untuk melaksanakan pelan perniagaan baharu yang ingin diceburi iaitu peruncitan melalui pembukaan YADIM Mart dan perdagangan (trading). Selain bidang perniagaan sedia ada iaitu pengurusan aset hartanah sejak pemilikannya oleh YADIM pada 2010 lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Tuan Kamarul Arief berkata, menerusi tindakan pemindahan wang itu ia mula menampakkan hasil dengan pemulihan kedudukan kewangan anak syarikat terbabit.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, sebagai yayasan milik kerajaan, YADIM sentiasa mengalu-alukan keprihatinan setiap lapisan masyarakat terhadap perjalanan operasi dan tatakelola yayasan itu.

“Pada masa sama, YADIM percaya menjadi tanggungjawab semua untuk menyemak kesahihan dan kebenaran sesuatu yang ditimbulkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, bahawa YADIM sentiasa komited terhadap aspek integriti yang menjadi teras kepada ajaran Islam dan keutamaan kerajaan pada masa ini.

Sementara itu, mengenai perkembangan usaha sama YADIM /LYSB dan NURFLIX, Tuan Kamarul Arief berkata, sehingga hari ini, tiada sebarang penyaluran peruntukan dilakukan kepada syarikat itu berikutan, kedua-dua pihak sedang memuktamadkan terma perjanjian sebelum YADIM melalui proksi anak syarikatnya membeli 10 peratus kepentingan saham dalam syarikat terbabit.

“Menerusi 10 peratus kepentingan saham dalam syarikat itu akan meletakkan YADIM dalam kedudukan strategik untuk meneroka ruang baru dakwah melalui bidang hiburan dan pendidikan Islamik dalam arus perdana melalui teknologi penstriman yang mempunyai sasaran dakwah yang lebih luas,” katanya.

Berhubung isu rumah inap atau rumah tamu, beliau berkata, rumah itu sudah disewa oleh Yang Dipertua YADIM sejak Disember 2020 dengan bayaran sewaan bulanan dibayarnya sendiri.

“Nilai perabot RM22,000 yang ditimbulkan juga tidak benar kerana perabot yang digunakan diambil dari perabot yang tidak digunakan di YADIM dan kelengkapan asas oleh LYSB.

“Perkara yang disebutkan itu sudah mendapat semakan oleh pihak Audit Luar bagi laporan kewangan YADIM tahun 2020 dan mendapati langkah yang diambil oleh YADIM adalah wajar dan mematuhi tatacara yang sewajarnya,” katanya.

Sumber | BH

CATEGORIES

COMMENTS