Gempar! Polis tembak tayar kereta pengedar dadah warga asing di Kota Kinabalu

Gempar! Polis tembak tayar kereta pengedar dadah warga asing di Kota Kinabalu

Polis terpaksa melepaskan dua tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan bagi mengelak tindakan agresif seorang pengedar dadah dalam kejadian di Manggatal di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lelaki warga asing berusia 20-an yang bertindak cuba melarikan diri dengan kenderaan jenis Perodua Myvi akhirnya berjaya ditahan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, tangkapan itu dibuat ketika ‘Ops Tapis’ dijalankan selepas disyaki terdapat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan merempuh kenderaan pasukan beberapa kali.

“Suspek turut cuba melanggar anggota polis dengan cara merempuh dari bahagian hadapan kenderaan, namun sempat dielak pasukan operasi.

“Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke tayar hadapan kiri dan kanan bagi mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

George berkata, suspek sebelum itu sempat melarikan diri, bagaimanapun kenderaannya hanya mampu bergerak sejauh 120 meter daripada tempat kejadian sebelum akhirnya berjaya ditahan polis.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua paket plastik lut sinar setiap satu berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat kasar keseluruhan rampasan dadah ialah sebanyak 100 gram dan suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber | SH

CATEGORIES

COMMENTS