Panas! PN Negeri Sembilan nak tanding 25 kerusi DUN pada PRU-15

Panas! PN Negeri Sembilan nak tanding 25 kerusi DUN pada PRU-15

Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mempertimbang untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen dan 25 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, bagaimanapun jumlah kerusi tersebut mengambil kira sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru termasuk melibatkan Barisan Nasional (BN).

“Kalau boleh di Negeri Sembilan kita perlu tiga atau empat kerusi untuk bertanding di Parlimen dan DUN mungkin dalam 25 kerusi, itu kalau berlaku tiga penjuru.

“Jika hanya berlaku satu lawan satu, mungkin kurang sedikit iaitu dalam 16 kerusi DUN, itu kalau formula bekerjasama dengan UMNO,” katanya.

Beliau itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Badan Pimpinan Negeri Sembilan ke Jelebu dan menyempurnakan Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan-cawangan Bahagian Jelebu di Wisma Budi Kuala Klawang, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Bersatu Jelebu, Tan Sri Rais Yatim.

Eddin Syazlee yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan sementara itu berkata, UMNO perlu menerima kenyataan bahawa parti itu tidak mampu untuk menang sekiranya bertanding solo tanpa PN, bukan sahaja semasa Pilihan Raya Negeri (PN) Melaka tetapi pada PRU-15 akan datang.

“Menyentuh berkenaan PRN ataupun PRU, agenda penyatuan Melayu itu akan jadi satu keutamaan, apa guna kita bersaing sesama kita jika akhirnya tiada siapa yang menang. Kita tahu ia bukan mudah, jika mudah mungkin sudah ada keputusan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk bergerak sendirian termasuk juga kepada Bersatu bukan mudah untuk kami bergerak sendirian.

“Satu perkara yang perlu dipertimbangkan adalah dengan kemasukan pengundi muda 18 tahun, paling kurang terdapat 10,000 pengundi baharu di setiap Parlimen, ia bukan mudah, jika sebelum ini jika ada yang menang dengan kurang daripada 10,000 undi, ia masih belum stabil maknanya apa-apa juga boleh berlaku kepada sesiapa pun,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, Bersatu Negeri Sembilan akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu hadapan yang turut akan membincangkan mengenai penentuan kerusi yang akan ditandingi parti itu.

Sumber | UTUSAN

CATEGORIES

COMMENTS