
Terkini! Kontrak CEO LHDN ditamatkan serta merta
Kontrak Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Sabin Samitah ditamatkan berkuasa kuasa esok.
LHDN dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik di laman sesawangnya memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memendekkan kontrak perkhidmatan Sabin.
LHDN turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sabin atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di agensi itu.
Minggu lalu, FMT melaporkan bahawa Sabin telah memberitahu pengurusan kanan LHDN mengenai pengunduran dirinya.
Walaupun alasan peletakan jawatannya tidak jelas, tuduhan penyalahgunaan kuasa telah dibuat terhadap LHDN dalam beberapa minggu terakhir.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri Najib Razak membuat laporan polis terhadap LHDN hari ini selepas menerima maklumat pegawai LHDN menerima tekanan dari ahli politik mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang termasuk penalti cukai.
Dalam kenyataan lain, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Mohd Nizom Sairi, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LHDN yang baharu berkuat kuasa 19 Okt menggantikan Sabin.
Nizim, 58, berkelulusan ijazah sarjana dari Lawrence Technological University, Amerika Syarikat mula berkhidmat di LHDNM pada 13 November 1985.
Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang percukaian langsung merangkumi operasi percukaian, pematuhan dan pungutan cukai, percukaian antarabangsa serta latihan percukaian.
Malah, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting di LHDNM merangkumi jawatan Pengarah Jabatan Siasatan LHDNM, Pengarah Akademi Percukaian Malaysia, Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai serta Pengarah Negeri LHDNM Perak.