[KOLUM] Sejarah AMANAH dan IKRAM di Perak – Muhaimin Sulam

[KOLUM] Sejarah AMANAH dan IKRAM di Perak – Muhaimin Sulam

Reformasi 1999 telah membuka Pas kepada penyertaan pelbagai pihak dalam parti itu. Sesuai dengan sebuah parti Islam, sebagai Presiden Ustaz Fadzil Mohd. Noor berjaya menjadikan Pas sebagai sebuah wadah perjuangan untuk semua. Pertubuhan Islam seperti ABIM, JIM (kemudiannya IKRAM) dan gerakan sivil lain telah berada dalam organ Pas. Bahkan Pas membuka kepada penyertaan tokoh-tokoh yang ingin bersama perjuangan Pas. Ini termasuklah Kamaruddin Jaafar, Dr. Hasan Ali, Shahnon Ahmad dan sebagainya.

Dinamika yang berlaku dalam Pas ketika itu menjadikan parti itu terus segar di persada politik tanahair dengan beberapa pencapaian yang terbaik dalam sejarah kewujudannya. Keterbukaan yang diteroka oleh Ustaz Fadzil Mohd. Noor terhenti dengan kekalahan figura-figura yang menyokong pendekatan politik Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam Muktamar Pas di Kuala Selangor. Akhirnya mereka menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) sebelum Amanah.

Sewaktu dalam Perak di peringkat awal, GHB mengadakan pertemuan dengan NGO dan tokoh Islam yang boleh membantu gerakan politik baru kami. Antaranya ialah IKRAM, ABIM dan juga WADAH Perak. Pertemuan dengan pimpinan IKRAM Perak diadakan di Hotel Casaurina Meru dalam acara minum petang.

Pertemuan awal antara IKRAM Perak dengan GHB Perak

Pertemuan antara wakil IKRAM dengan pimpinan GHB Perak berlangsung di cafe Casaurina Meru, Ipoh dalam acara minum petang. Manakala pimpinan GHB Perak diketuai Asmuni Awi dan turut hadir ialah Dato Seri Nizar Jamaluddin, Dr Khairudin Malek, Zainuddin Mohd. Yusuf dan Salman Salleh. Majlis berlangsung secara santai tetapi membuahkan beberapa keputusan penting ke arah pembentukan parti baru.

Hasil daripada perbincangan tersebut, IKRAM Perak menghantar bekas Naib Pengerusinya Prof Madya Dr Fakhruldin Mohd. Hashim, Prof Dr Fadhil Nurudin, Ir Abdul Aziz, Ir Hj Megat Shariffudin Bin Ibrahim dan Yahanis Yahya menyertai GHB dan AMANAH selepas selesai proses penajaannya. Sebahagian mereka pernah menjadi penyokong PAS di peringkat cawangan. Sesetengahnya tidak pernah menyertai PAS atau mana-mana parti politik lain. Mereka sekadar aktif dengan IKRAM sahaja.

Mereka yang ingin bersama AMANAH melepaskan jawatan yang disandang semasa dalam IKRAM. Ini merupakan syarat ditetapkan oleh IKRAM bagi memastikan pertubuhan tersebut kekal bersifat ‘non partian’.

Prof Madya Dr. Fakhruldin Mohd Hashim dipilih menjadi Naib Pengerusi 2 AMANAH Perak dan Prof Dr Fadhil Nurudin, Megat Shariffudin juga terpilih sebagai AJK AMANAH Perak. Manakala Ir Abdul Aziz adalah AJK Negeri Perak yang dilantik. Kebanyakan mereka terdiri daripada pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar tempat saya bertugas ketika itu. Saya sering bertemu dengan mereka terutama sewaktu solat Zuhor tetapi ketika itu hubungan kami hanya sekadar satu jemaah masjid universiti tempat kami bertugas.

Manakala Yahanis Yahya menyertai Bersatu dan ditawarkan bertanding atas tiket itu di Dun Belanja. Beliau hingga kini kekal dalam Bersatu. Semasa Perak dibawah kepimpinan Peja, beliau diberikan amanah menjadi CEO Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Ini juga berdasarkan pengalamannya bertugas dalam badan itu sebelum aktif berpolitik.

Manakala penglibatan Prof. Dr. Ahmad Termizi Ramli dalam Amanah tidak bersama dalam pakej IKRAM Perak. Ini kerana beliau sedia aktif dengan Pas Kuala Kangsar sejak era reformasi lagi. Beliau lebih terlibat di peringkat nasional bersama dengan Ustaz Hasanuddin Mohd. Yunus yang kini Naib Presiden Amanah. Dr. Ahmad Termizi Ramli kini adalah Naib Pengerusi Amanah Perak selepas kekosongan yang ditinggalkan oleh Hasnul Zulkarnain.

Ir Megat Shariffudin Ibrahim antara pengiat awal dalam penubuhan AMANAH Perak dari Ikram Perak

Kemasukan pimpinan IKRAM tidak sekadar di peringkat Negeri tetapi juga di peringkat Pemuda dan AWAN Negeri serta di peringkat kawasan. Namun IKRAM lebih memfokuskan kawasan-kawasan tertentu seperti Tambun, Batu Gajah, Gopeng dan Parit Buntar.

Di peringkat Wanita Amanah (AWAN) negeri Perak, IKRAM menghantar beberapa pimpinan wanitanya untuk berada dalam parti baru. Antaranya Zaiton Abdul Latif diangkat sebagai Timbalan Ketua AWAN Perak. Beliau bertanding di DUN Kampong Gajah dalam PRU14 selepas Amanah Kawasan Pasir Salak menawarkan kerusi tersebut untuk kouta AWAN.

Melalui pengembelingan pelbagai pihak, Amanah Perak mengorak langkah dalam bergerak sebagai sebuah parti politik yang baru. Amanah Perak awalnya diterajui oleh bekas pimpinan Pas peringkat Pusat seperti Asmuni Awi, Nizar Jamaluddin dan saya sendiri. Pada peringkat awal, terdapat beberapa tokoh Pas Negeri yang memberi sokongan kepada GHB tetapi mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan apabila menerima tekanan kuat daripada Pas sendiri.

Dalam menghadapi Pilihanraya Umum 2018, Amanah Perak menyediakan calon dari kalangan bekas pimpinan Pas sendiri dan juga bekas pimpinan IKRAM. Beberapa bulan sebelum parlimen dibubarkan, calon-calon sudah bersedia di tempat yang ditetapkan oleh parti. Namun apabila Bersatu menyertai Pakatan Harapan, beberapa pindaan terpaksa dibuat. Terdapat calon terpaksa digugurkan bagi memberi laluan Bersatu bertanding.

Manakala Nizar Jamaluddin yang menjadi Adun Changkat Jering terpaksa dipindahkan ke Dun Sungai Rapat. Sebagai bekas Menteri Besar Perak dan ahli parlimen Bukit Gantang, Nizar Jamaluddin mempunyai kekuatan tersendiri berhadapan tokoh-tokoh Umno dan Pas pada ketika itu.

Persempadanan semula kawasan pilihanraya, terdapat dua Daerah Mengundi (DM) iaitu Simpang Baru dan Pengkalan Aor yang memberi sokongan kepada Nizar Jamaluddin dipindahkan ke dun Aulong dalam parlimen Taiping. Dua DM itu, Nizar Jamaluddin mendapat sokongan hampir sembilan ribu pengundi. Mengikut kiraan atas kertas, kemenangan Nizar Jamaluddin di situ tidak dapat dipertahankan. Inilah kejahatan Gerrymandering yang dibenarkan dalam sistem pilihanraya di Malaysia.

Akhirnya Mesyuarat Biro Politik Amanah Perak telah membuat keputusan untuk memindahkan Nizar Jamaluddin ke Dun Sungai Rapat bagi memastikan kedudukannya lebih strategik. Ir Megat Shariffudin yang dirancang untuk menjadi calon Amanah di Dun Sungai Rapat oleh pihak kawasan Gopeng dipindahkan ke Dun Changkat Jering.

Ir Megat Shariffudin dan Amanah Gopeng telah melakukan kerja-kerja awal sebelum itu akur dengan keputusan parti. Manakala Dr. Fakhruldin Mohd Hashim yang dicalonkan untuk bertanding di parlimen Bukit Gantang terpaksa digugurkan demi memberi laluan kepada calon dari Bersatu bertanding di situ.

Politik adalah pengorbanan. Kelangsungan perjuangan politik tidak memberi apa-apa makna tanpa pengorbanan. Kadangkala rakyat menjadi korban atas tindakan pemimpin yang tidak mahu berkorban.

Tulisan ini adalah sebahagian daripada petikan dalam buku ‘Mekar Dalam Api’ yang sedang dalam pembikinan. Buku ini adalah tentang sejarah penubuhan dan perkembangan Amanah. Buku terkini, penulis bertajuk ‘Menang dan Terbuang’ boleh diperolehi di bit.ly/bukumuhaimin.

CATEGORIES

COMMENTS