Sumbangan kepada penduduk kaum India di Parit Buntar sempena perayaan Deepavali

Sumbangan kepada penduduk kaum India di Parit Buntar sempena perayaan Deepavali

Seramai 400 orang penduduk India dalam kawasan Parlimen Parit Buntar telah menerima sumbangan sempena perayaan Deepavali anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar dengan kerjasama AMANAH Kawasan Parit Buntar.

Pengerusi Biro Integrasi AMANAH Parit Buntar, K.S Paranthaman berkata, penyerahan sumbangan berkenaan diadakan dalam dua fasa secara berasingan di beberapa komuniti orang India dalam parlimen Parit Buntar bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak kerajaan.

“Fasa pertama melibatkan sumbangan bakul makanan Mitra kepada 200 orang penduduk India di Parit Buntar.

“Majlis pada hari ini, adalah fasa kedua melibat sumbangan wang tunai kepada 200 orang penduduk India yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan miskin” katanya ketika di temui semasa penyerahan sumbangan Deepavali di Dewan Masyarakat, Taman Semarak, dekat sini.

Penyampaian sumbangan telah disempurnakan Ahli Parlimen Parit Buntar , Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa dan pimpinan AMANAH Kawasan Parit Buntar.

Paranthaman mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Parit Buntar , Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa yang telah berusaha mengumpul dana dari pelbagai pihak bagi memberi sumbangan kepada orang India sempena perayaan Deepavali.

“Walaupun Dr Mujahid sekarang ini bukan lagi Ahli Parlimen kerajaan, beliau tetap berusaha membantu penduduk India di Parit Buntar.

”Selama tiga minggu ini , petugas kami diketuai Jeyapandian a/l Ratnasamy telah menyampaikan sumbangan dari rumah ke rumah dan secara kumpulan kecil bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak kerajaan ” katanya.

Menurutnya, Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menyampaikan saguhati peribadi berbentuk hamper kepada beberapa orang petugas kaum India yang banyak membantu Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar.

“Ahli Parlimen Parit Buntar turut menyampaikan sumbangan hamper kepada wartawan India tempatan.

“Ini bagi menghargai tugas mereka sebagai wartawan yang menyiarkan berita aktiviti Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar dalam akhbar masing-masing “ katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa semasa ditemui melahirkan rasa gembira kerana dapat memberi sumbangan kepada penduduk India yang memerlukan sempena perayaan Deepavali tahun ini.

“Deepavali tahun lalu, sumbangan kepada penduduk India kami salurkan melalui wakil-wakil komuniti India seluruh Parit Buntar.

“Saya gembira kerana dapat menyampaikan sumbangan secara bersemuka pada tahun ini mengikut SOP yang telah ditetapkan “ katanya.

Beliau berharap penduduk India khususnya di Parit Buntar menyambut perayaan Deepavali tahun ini dengan ceria dan meriah bersama ahli keluarga serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak kerajaan.

CATEGORIES

COMMENTS