
Panas! Anthony Loke sekolahkan Tok Mat, SD tak boleh halang lompat parti
Akuan berkanun (SD) sahaja tidak memadai untuk menghalang seseorang wakil rakyat daripada melompat parti selepas memenangi pilihan raya, kata setiausaha penganjur DAP Anthony Loke.
Menjawab kenyataan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, Loke berkata perkara itu hanya boleh dikuatkuasakan dengan menggubal undang-undang anti-lompat parti selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat.
“Tok Mat, SD tu tak boleh pakai untuk menghalang wakil rakyat lompat parti.
“Yang hanya boleh dikuatkuasakan ialah Akta antilompat parti yang diiluluskan di parlimen selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi akaun Facebooknya malam tadi.
Loke berkata, Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan sendiri pernah menerima wakil rakyat yang melompat parti ketika penggal pertama menyandang jawatan itu.
“Tok Mat sendiri pernah menerima katak politik semasa penggal pertama beliau menjadi MB Negeri Sembilan iaitu bekas Adun Bahau yang menang atas tiket DAP pada PRU tahun 2004 dan lompat ke BN pada tahun 2007.
“Selepas ini, saya harap semua parti sama-sama menyokong penggubalan Akta Anti Lompat Parti di Parlimen,” katanya.
Loke mengulas laporan Bernama malam tadi yang memetik Mohamad sebagai berkata kesemua 28 calon BN pada pilihan raya negeri Melaka mesti menandatangani SD bagi menghalang mereka daripada melompat parti.