Walaupun berlawan di Melaka, Pas masih nak berkawan dengan Umno – Idris

Walaupun berlawan di Melaka, Pas masih nak berkawan dengan Umno – Idris

Naib Presiden Pas Senator Idris Ahmad menegaskan pertembungan antara Pas dan UMNO di tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya pertandingan persahabatan.

Malah, jelasnya, Pas juga masih kukuh dengan pendiriannya dalam memainkan peranan sebagai pendamai antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kita (Muafakat Nasional) masih wujud seperti biasa, yang mana kita tetap hendak menjadikan atau mendamaikan (hubungan) supaya perpaduan kita terus kekal.

“Pertandingan (pertembungan kerusi) ini juga lebih kepada pertandingan persahabatan, pertandingan yang dianggap sebagai suatu persahabatan di kalangan kita semua,”katanya, menurut laporan Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan (Perikatan Nasional) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau mengulas isu keutuhan permuafakatan antara UMNO dan Pas susulan pertembungan kerusi antara dua parti itu pada PRN Melaka yang bakal berlangsung 20 Nov ini.

Dalam pada itu, mengulas soal persepsi yang menganggap keputusan Pas bertanding di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) semata-mata mengejar jawatan dan bukan demi muafakat ummah, katanya itu hanya pandangan peribadi individu.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, semua calon Pas yang bertanding kekal dengan prinsip parti untuk menyatukan semua pihak.

“Persepsi ini kita tidak dapat nak elak, terutamanya di media sosial kerana apabila kita kata hitam, dia kata putih, itu sudah jadi satu kebiasaan.

“Jadi, masyarakat tidak terima realiti yang berlaku. Yang penting ialah, kita menunjukkan sikap untuk menyatukan dalam kalangan kita semua,”jelasnya.

Dalam PRN Melaka, persaingan sekurang-kurangnya tiga penjuru berlaku di semua 28 kerusi DUN, dengan Pas dan UMNO bertembung di tujuh kerusi – Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Duyong, Serkam, Merlimau dan Bukit Katil.

CATEGORIES

COMMENTS