Persatuan Pengguna gesa kerajaan kawal kenaikan harga telur

Persatuan Pengguna gesa kerajaan kawal kenaikan harga telur

Kerajaan diharap dapat mengawal kenaikan harga telur ayam serta barangan keperluan pengguna yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya mengesan kenaikan harga telur ayam sehingga lebih RM3 sepapan atau 30 biji telur ayam sejak seminggu yang lalu berlaku di Kedah.

Menurut Mohamad Yusrizal, kenaikan sebanyak tiga sen bagi se biji telur itu melibatkan semua gred bagaimanapun punca kenaikan harga telur ayam dalam tempoh seminggu itu tidak dapat dikenalpasti setakat ini.

“Ini bermakna harga telur ayam tidak kira gred naik sehingga lebih RM3 bagi sepapan dan Cake memohon kerajaan supaya dapat mengawal kenaikan harga itu.

“Pengguna pula diharap bijak berbelanja dan jangan terlalu banyak membeli belah hingga menyebabkan inflasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, bekalan dan permintaan telur ayam di Sungai Petani tidak terjejas meskipun harga makanan itu dikatakan meningkat sejak awal bulan lepas.

Pengguna, Nurul Afzan Aminudin,37, berkata, harga telur ayam meningkat dan berubah namun telur tetap menjadi barangan wajib setiap bulan.

Katanya, harga telur ayam mencecah sehingga RM12 atau RM13 sepapan bagi gred A berbanding sekitar RM10 sepapan sebelum ini.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Econsave Bandar Puteri Jaya, Kavikumar Muniandy memaklumkan, ketika ini harga telur ayam ialah RM12.50 sepapan untuk gred A; RM12.20 (gred B) dan RM10.70 (gred C).

CATEGORIES

COMMENTS