Panas! Mahathir geram Najib tamak, minta ganjaran hartanah bernilai RM100 juta

Panas! Mahathir geram Najib tamak, minta ganjaran hartanah bernilai RM100 juta

Pindaan terhadap Akta Saraan Ahli Parlimen 1980 bertujuan untuk memberi sedikit ganjaran kepada bekas perdana, bukan memberikan kemewahan atau kekayaan kepada mereka, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dia mengulas kenyataan Najib Razak berhubung isu permohonan hartanah dikatakan bernilai RM100 juta, bahawa ia pemberian biasa kepada bekas perdana menteri bawah akta berkenaan yang dipinda ketika eranya.

“Kita boleh hargai jasa seseorang perdana menteri tetapi tidaklah sampai menjadinya millionaire (jutawan),” kata Mahathir dalam satu kenyataan di blog dan media sosial, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Langkah kerajaan itu mengundang kritikan hebat pembangkang. Selain Mahathir, Pakatan Harapan (PH) turut mempertimbangkan mengkaji semula memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan.

Najib menarik permohonan itu sehari sebelum pilihan raya negeri Melaka, Sabtu lepas.

Sementara itu, Mahathir berkata, perdana menteri tidak perlukan banyak ganjaran selepas bersara kerana pencen, gratuiti dan elaun sudah lebih daripada mencukupi untuk membina rumah sendiri yang selesa.

Memberikan contoh bekas perdana menteri pertama, kata Mahathir, Tunku Abd Rahman yang memerdekakan Malaysia hanya menerima sebuah rumah papan.

Rumah Tun Razak pula, katanya, dijadikan monumen manakala Tun Hussein pula tidak mendapat apa-apa ganjaran yang bernilai tinggi.

Dia sendiri, kata Mahathir, tidak menuntut atau mendapat apa-apa selain pencen dan bayaran RM10,000 untuk selenggaraan rumah.

Bahkan, katanya, dia menolak tawaran sebidang tanah percuma di Putrajaya, sebaliknya membeli tanah sendiri dengan harga biasa kepada penjawat awam.

Mahathir terus membangkitkan kesalahan rasuah Najib melibatkan dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

“Bagi seorang perdana menteri yang merosakan negara sehingga dihukum penjara, perlukah kita beri hadiah sampai RM100 juta, sedangkan yang merdekakan negara diberi hanya sebuah rumah dinding papan berbumbung genting sahaja?” soalnya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS