Setuju tak kalau ajak Amanah bersama, pemimpin Umno bagi soalan maut pada Pas

Setuju tak kalau ajak Amanah bersama, pemimpin Umno bagi soalan maut pada Pas

Pemimpin Umno Shamsul Anuar Nasarah bertanya kepada PAS adakah parti itu bersetuju jika Amanah diajak bersama dalam usaha memperkukuh agenda penyatuan ummah.

Bekas menteri itu berkata, kenyataan Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari kelmarin yang mengatakan penyatuan ummah tidak harus terikat dengan kelompok tertentu adalah tepat.

“Betul, penyatuan ummah tidak harus terikat dengan kelompok tertentu. Cuma hanya bertanya, agak-agak PAS setuju tak kalau diajak Amanah bersama?.

“Parti yang dikata berlandaskan Islam atau sebagai orang Islam pastinya akan menjawab dan berhujah dengan bahasa yang baik dan sopankan? Sesuai dengan imej kita orang Islam…jadi berhujahlah dengan baik ya,” katanya dalam catatan di Facebook.

Terdahulu, Fadhli dalam satu kenyataan berkata Pemuda PAS mendukung penuh kenyataan Presidennya Abdul Hadi Awang mengenai pendirian parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, aspek yang paling besar dalam memperkukuh penyatuan ummah adalah menyatukan masyarakat Melayu dan Islam serta Bumiputera yang majoriti, serta mesti melibatkan semua pihak bagi meraikan kemajmukan masyarakat di negara ini.

“Penyatuan ummah tidak boleh terhad kepada sesetengah kelompok sahaja, ia mesti bergerak selari,” katanya, memetik laporan FMT.

Kelmarin, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan PAS menolak gagasan MN yang terbelenggu dengan pembabitan hanya Umno dan parti itu sahaja.

Hadi berkata: “Mesti diterima hakikat bahawa PN yang menjadi gagasan politik lebih besar perlu berperanan dan berkuasa dalam negara masyarakat majmuk ini”.

PAS sebelum ini menuduh Umno sebagai mungkir janji apabila tidak bersetuju Bersatu menyertai MN.

Umno pula mengecam PAS kerana bingkas menyertai PN walaupun sudah menubuhkan MN untuk bersama Umno.

Beberapa pemimpin Umno turut mendesak PAS berhenti “berenang di dua kolam” dan memilih sama ada bersama Bersatu atau Umno.

CATEGORIES

COMMENTS