Harga barang naik: Anwar kata kerajaan Ismail Sabri gagal

Harga barang naik: Anwar kata kerajaan Ismail Sabri gagal

Kerajaan dilihat gagal menguruskan kemelut kenaikan harga barang apabila tidak mengemukakan sebarang tindakan drastik untuk mengatasi isu berkenaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agensi kerajaan yang sepatutnya memainkan peranan penting sewaktu berdepan krisis kenaikan harga barang tidak dilihat terlibat dalam usaha berkaitan.

“Ketika harga barang naik, mana perginya agensi kerajaan Persekutuan yang sepatutnya melibatkan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), MARDI (Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan sebagainya untuk sama-sama tampil dengan keluaran produk sendiri untuk bantu petani dapat harga yang lebih baik.

“Kerajaan perlu ambil tindakan segera, harga sayur, ikan, ayam, semuanya harga telah naik menggila ketika ini dan perkara ini saya telah bangkitkan di Parlimen sebagai krisis nasional,” katanya ketika melakukan tinjuan di gerai jualan sayur anjuran PKPS di Shah Alam pada Selasa.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk menawarkan harga barangan lebih rendah.

“Ini hanya sebahagian daripada usaha kerajaan negeri… sebahagian besar sektor pertanian berada di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

“Usaha yang digerakkan PKPS ini bukan perkara baharu… sebelum ini juga kita telah laksanakan Selangor Agro Market sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang lalu yang turut menawarkan harga yang rendah,” katanya ketika turut hadir dalam tinjauan berkenaan.

Menyedari situasi kenaikan harga barangan semasa, Amirudin berkata, PKPS telah melanjutkan lagi tawaran harga produknya.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita cuba bantu pihak yang memerlukan dengan mengurangkan harga barangan dan bukan hanya mengambil langkah populis untuk rakyat,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS