Panas! KL City juara Piala Malaysia, netizen terkejut presiden KLFA adalah Khalid Samad

Panas! KL City juara Piala Malaysia, netizen terkejut presiden KLFA adalah Khalid Samad

Kira-kira dua tahun lalu, tepatnya pada 25 November 2019, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad telah menang tanpa bertanding sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Ketika itu, Kuala Lumpur menghuni kedudukan dua tercorot Liga Super lalu diturunkan pangkat ke Liga Premier musim selepas itu.

Justeru itu, tekad pertama Khalid ketika itu adalah untuk memastikan pasukan itu kembali menyertai Liga Super pada tahun 2021 dan berada dalam kelompok 4 teratas.

Dua tahun kemudian, iaitu pada 27 November 2021 di Stadium Hang Jebat, Melaka, KL City berjaya menempah tiket ke pertandingan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Melaka di gelanggang sendiri melalui sepakan penalti.

KL City yang dimiliki sepenuhnya oleh KLFA mengalahkan Melaka 5-3 melalui sepakan penalti selepas kekal dengan agregat 2-2 sehinga tamat masa tambahan.

Ini bermakna, selepas 32 tahun, pasukan bola sepak Kuala Lumpur buat pertama kalinya mara ke pusingan akhir Piala Malaysia.

“Mover sebenar pasukan KL City ini bukan saya tetapi jurulatihnya Bojan Hodak dan CEO KL City Stanley Bernard Stephen Samuel. Semangat para pemain yang sangat dahagakan kemenangan pada setiap kali perlawanan adalah antara resipe utama kejayaan ini,” kata Khalid Samad kepada Malaysia Dateline.

Ketika sedia menerima pencalonan sebagai Presiden KLFA, Khalid bukanlah kaki bola atau peminat tegar bolasepak.

Tetapi tujuannya hanya satu, untuk meningkatkan kembali bolasepak di Kuala Lumpur.

Atas dasar itulah, sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid menerima cabaran itu dan menang sebagai Presiden KLFA tanpa bertanding selepas pencabarnya, Datuk Rashid Hasnon tidak mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding.

Sejak itu, hampir setiap perlawanan, Khalid akan berada di stadium hatta ketika perlawanan diadakan tanpa penonton.

Beliau menjadi penyokong setia pasukan Kuala Lumpur dalam hampir kesemua perlawanan yang disertainya.

Khalid juga berjuang agar permainan bola sepak dibenarkan semula selepas disekat akibat pandemik Covid-19 walaupun tanpa penonton.

Ia bertujuan untuk menghidupkan permainan itu dari mati tanpa latihan dan perlawanan.

Sejak dari awal juga, Khalid bertegas, jangan bermain politik jika mahu menjayakan bolasepak di Kuala Lumpur.

Atas dasar itulah, selepas tidak lagi menjadi menteri apabila kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan melalui Langkah Sheraton, sebagai Presiden KLFA, Khalid berusaha dan bersetuju melantik Tan Sri Annuar Musa, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu sebagai Presiden Kelab KL City.

Ia bertujuan agar kebajikan dan kepentingan bola sepak di Kuala Lumpur terjaga dengan baik sehinggalah tempoh beliau sebagai Presiden KLFA tamat pada 2023 nanti.

Alhamdulillah, selepas dua tahun cita-cita Khalid menampakkan hasilnya apabila KL City menyertai perlawanan akhir Piala Malaysia melawan JDT malam ini.

Tahniah KLFA, pemain, pengurus dan peminat bolasepak Kuala Lumpur.

CATEGORIES

COMMENTS