Netizen bengang KKM hanya kenakan kompaun RM1,000 kepada penganjur sambutan ‘Keluarga Malaysia’ PM

Netizen bengang KKM hanya kenakan kompaun RM1,000 kepada penganjur sambutan ‘Keluarga Malaysia’ PM

Kementerian Kesihatan mengenakan kompaun RM1,000 kepada penganjur majlis sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur petang semalam kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, kompaun itu dileluarkan mengikut Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).

“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

“Sehubungan itu, kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) bernilai RM1,000 telah dikeluarkan kepada pihak penganjur,” kata Khairy dalam kenyataan hari ini.

Acara itu dianjurkan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) Jabatan Perdana Menteri. Ia dilancarkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan dihadiri kebanyakan menteri, termasuk Khairy.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, walaupun karnival empat hari itu disertai ramai anggota kerajaan serta agensi penguat kuasa undang-undang, SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seolah-olah diabaikan.

Pelanggaran SOP yang paling ketara ialah kegagalan menjaga penjarakan fizikal satu meter yang ditetapkan, malah ia kelihatan hampir tidak berlaku langsung terutamanya di kawasan lobi Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) serta di dalam lokasi utama acara.

Pasukan Malaysiakini yang membuat liputan majlis pelancaran oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada jam 2.30 petang semalam itu juga mendapati hanya sedikit atau tiada usaha untuk mengehadkan bilangan orang awam yang boleh memasuki kawasan pameran.

Ruang tersebut terletak di dalam kawasan tertutup.

Pengarah Eksekutif Sepadu Wan Azilawati Wan Mahmood berkata pihaknya telah menggariskan set SOP yang ketat, namun mengakui isu pematuhan individu tetap menjadi cabaran utama bagi setiap program.

Berhubung kompaun yang dikenakan, Khairy berkata ia merupakan jumlah maksimum yang boleh dikenakan selepas Ordinan Darurat diungkaikan di Dewan Negara, pada 8 Disember lalu.

Untuk rekod, had kompaun ketika penguatkuasaan darurat adalah RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk organisasi.

Dalam pada itu, Khairy berkata kaunter diskaun saman polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di acara itu – yang menjadi antara tarikan utama pengunjung – ditutup mulai petang ini.

“Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM.

“KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat. Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang telah dikenakan ke atas rakyat,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS