Panas! Pemimpin PKR kata hati Mahathir busuk

Panas! Pemimpin PKR kata hati Mahathir busuk

Tidak adil untuk Anwar Ibrahim dilabel sebagai “individu tidak tahu memerintah negara”, sedangkan Presiden PKR itu masih belum diberi peluang menjadi Perdana Menteri, kata seorang pemimpin parti.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Abdullah Sani Hamid, berkata andaian berat sebelah Dr Mahathir Mohamad dalam buku terbaharunya, “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, penuh dengan sifat dendam dan fitnah untuk menutup tindakannya menggagalkan usaha menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Untuk Tun M, busuknya hati seseorang itu bergantung pada hujahnya. Kalau kata Anwar gagal, beliau belum lagi diuji. Jadi bagaimana dia kata Anwar tidak layak? Dia hendak kata siapa yang bagus? Muhyiddin (Yassin)? Atau dia sendiri?.

“Semua boleh mengkritik orang itu gagal, orang ini bagus. Tapi bagus dari segi apa? Adakah pandangan dia bersifat dendam? Jangan lupa fitnah yang dia buat terhadap Anwar, kerana asasnya hanya untuk tidak benarkan Anwar menjadi Perdana Menteri,” katanya kepada FMT.

“Anwar sudah diuji bermacam-macam, diperlakukan macam-macam tetapi beliau tetap teguh meneruskan agenda dan nasib rakyat. Ini baru pemimpin telun, bukan pemimpin yang hanya tahu menjaga kepentingan anak-beranak dan kroni,” tambahnya.

Dalam buku setebal 304 halaman, Pengerusi Pejuang itu mengkritik kebolehan Anwar memimpin dan merasakan Ketua Pembangkang tidak tahu memerintah negara berdasarkan pengalamannya lalu.

Mahathir berkata, beliau bekerjasama dengan Anwar sebelum ini hanya dengan satu matlamat, iaitu untuk menjatuhkan Najib, dan kerjasama itu membuahkan hasil.

Walaupun Anwar mungkin menganggap dirinya berkebolehan, Mahathir berkata Ahli Parlimen Port Dickson itu bukanlah faktor berlaku kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada 2018.

Mengulas lanjut, Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata, pandangan Mahathir terhadap Anwar bertentangan dengan pengiktirafan diterimanya di peringkat global.

“Dia kata Anwar tidak layak sedangkan Anwar dinobatkan sebagai Menteri Kewangan terbaik ketika era pentadbirannya dan beliau dijadikan contoh dengan dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa pada 1998.”

Untuk rekod, Anwar dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1991 hingga 1998 ketika pentadbiran Mahathir.

Dalam satu wawancara yang disiarkan hujung tahun lalu, bekas perdana menteri itu ada mendedahkan Anwar tidak berupaya menangani krisis kewangan pada 1997 dan 1998 ketika memegang jawatan sebagai sebagai timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan ketika itu.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kebolehan Anwar menerajui negara diuji pada ketika itu apabila dilantik memangku jawatan perdana menteri bagi menggantikan beliau yang bercuti selama dua bulan.

“Dia suka menurut apa yang dicadangkan dan disarankan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Saya pernah berkata kepadanya, kalau kita ikut mereka, negara mungkin tidak ada dana yang cukup untuk membayar gaji tetapi dia masih terus dengan pendiriannya menyokong IMF dan Bank Dunia,” katanya dalam wawancara itu, memetik FMT.

Sementara itu, Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim berkata Mahathir cuba mengalih perhatian daripada fakta sebenar bahawa Bersatu yang dipimpinnya pada PRU14, gagal memenangi hati pengundi.

“PKR yang dipimpin Anwar yang berada dalam penjara masuk bertanding PRU14 di 51 kawasan Parlimen. PKR menang 47 kerusi, kalah empat kerusi sahaja. PKR jadi parti terbesar menang banyak kerusi.

“Manakala Bersatu pimpinan Mahathir bertanding di 52 kerusi Parlimen tetapi menang 13 kerusi sahaja. Bersatu kalah di 39 kawasan Parlimen. Fakta statistik ini menunjukkan Mahathir sendiri bukanlah faktor kejayaan PH dalam PRU14,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu.

CATEGORIES

COMMENTS