Panas! Nurul Izzah terkejut PM bagi markah 90 peratus terhadap prestasi barisan kabinetnya

Panas! Nurul Izzah terkejut PM bagi markah 90 peratus terhadap prestasi barisan kabinetnya

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, mempersoalkan markah 90 peratus yang diberikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terhadap barisan kabinetnya yang dilihat tidak setara dengan prestasi masing-masing.

Nurul Izzah berkata, pengumuman Ismail Sabri mengenai keseluruhan petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari jemaah menteri itu adalah satu kejutan.

“KPI ini dilihat terlalu besar jurangnya dengan realiti sebenar yang dialami oleh rakyat,” katanya katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Andainya benar kerajaan hari ini mampu mendapat keputusan cemerlang dalam ‘peperiksaan’ yang mereka sendiri nilaikan, kata Nurul Izzah, mengapa ada rang undang-undang (RUU) penting masih tidak kedengaran perkembangannya.

Antaranya, kata Nurul Izzah, ialah RUU Antigangguan Seksual bagi melindungi wanita yang sepatutnya dibentang pada Dis ini, selain RUU akta profesion pekerja sosial bagi mengupaya kumpulan terbabit.

“Sewaktu negara dan rakyat berperang dengan pandemik, pekerja sosiallah yang merupakan tunjang kepada khidmat kebajikan sosial, termasuk bebanan yang turut dipikul rakyat menerusi gerakan #KitaJagaKita dan pengeluaran simpanan KWSP bagi menyelamatkan ekonomi kita bersama,” katanya.

Pada 9 Dis lalu, Ismail Sabri berkata, prestasi keseluruhan bagi tempoh 100 hari pentadbiran jemaah menteri yang mencapai sekitar 90 peratus kejayaan bukan alasan untuk mendabik dada.

Sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk barisan kabinet terus bekerja bersama rakyat.

Perdana menteri berkata sasaran penuh KPI tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli jemaah menteri dengan kerjasama penjawat awam menggembleng tenaga dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada dan berkesan kepada Keluarga Malaysia.

“Meskipun pencapaian tidak menepati sasaran 100 peratus, pelbagai program telah dan akan dilaksanakan bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat terutama dalam menghadapi tempoh pandemik Covid-19.

“(Ia dengan) mengetepikan segala kerenah birokrasi. Bagaimanapun, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata.

“Maka peratusan yang dicapai ini bukan alasan untuk kita mendabik dada, sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk kami terus bekerja bersama rakyat,” katanya, memetik Malaysiakini.

Nurul Izzah berkata, dengan puluhan minggu sesi persekolahan ditutup gara-gara pandemik, Malaysia tergolong dalam kumpulan negara yang paling lama menutup sekolah.

“Dengan program sarapan percuma (PSP) bagi semua murid-murid yang tidak diteruskan, layakkah prestasi dinilai pada 90 peratus?” soalnya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS