Gara-gara degil, Arafat dihalau keluar Dewan Negeri

Gara-gara degil, Arafat dihalau keluar Dewan Negeri

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad, diarahkan keluar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Speaker DUN Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid mengarahkan wakil rakyat dari PKR itu keluar dewan setelah enggan duduk dan terus berucap walaupun telah diarahkan berhenti oleh timbalannya Khalil Yahaya sebelum itu.

Kekecohan bermula apabila Muhamad Arafat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan sewaktu sesi penggulungan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri Datuk Abdul Yunus Jamahri mengenai isu kenaikan harga barang.

Abdul Yunus sebelum itu telah memberi jaminan akan menjawab soalan yang dibangkitkan Adun Hulu Kinta itu secara bertulis disebabkan tempoh penggulungan yang diberikan melebihi tempoh masa yang ditetapkan.

Khalil yang mengendalikan persidangan ketika itu memberi kata dua sama ada Adun Hulu Kinta itu mahu duduk atau keluar berehat sebentar di kantin.

Bagaimanapun, Mohamad Zahir yang masuk menggantikan Khalil mengendalikan persidangan tersebut terus membuat keputusan mengarahkan Muhamad Arafat untuk keluar dewan.

Adun Hulu Kinta itu kemudiannya keluar dewan sambil diiringi oleh Bentara dewan.

Pada Selasa, Muhamad Arafat mencuri tumpuan apabila memegang seekor ayam segar ketika berbahas sebagai ‘gimik’ untuk mengulas isu harga barangan terutama ayam segar yang mengalami peningkatan sejak akhir-akhir ini.

Muhamad Arafat berkata ayam itu sebagai ‘hadiah’ kepada Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang juga Adun Semanggol.

CATEGORIES

COMMENTS