Mesej tular tentang ekor, kepala Taufan Rai kini terjawab

Mesej tular tentang ekor, kepala Taufan Rai kini terjawab

Mesej tular mengatakan hujan lebat berterusan yang berlaku beberapa hari lepas adalah disebabkan ekor Taufan Rai yang membadai Filipina ketika ini dan dalam perjalanan ke arah barat menuju Malaysia, adalah tidak benar sama sekali.

Tegas Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, tidak dinafikan taufan itu sedikit sebanyak menyumbang, tetapi fenomena yang melanda negara beberapa hari lepas adalah disebabkan pertembungan beberapa keadaan.

Katanya, apa yang berlaku sebenarnya adalah satu fenomena yang dipanggil ‘tropical depression’ atau lekukan tropika yang terbentuk di Laut China Selatan yang bergerak melanda Pahang pada asalnya.

Kemudian kekuatannya berkurangan dan diklasifikasikan sebagai satu sistem tekanan rendah.

“Ia bergerak ke arah barat dan mempengaruhi kawasan-kawasan seperti Kuala Lumpur dan Selangor, dan ianya berakhir di Selat Melaka sekitar 17 Disember.

“Jadi sistem tersebut berinteraksi dengan luruan monsun atau ‘cold surge’ iaitu deruan angin kencang yang datang dari China, menyebabkan berlaku hujan lebat luar biasa tempoh hari,” katanya, seperti dilaporkan Astro Awani.

Taufan Palau pula terbentuk daripada lekukan tropika di Laut Pasifik yang semakin menguat tatkala ia bergerak ke barat dan mencapai kemuncaknya apabila sampai ke pantai timur Filipina pada 16 Disember.

Taufan itu terus bergerak ke barat ke Laut China Selatan dan melemah. Namun pada 18 Disember, ia menguat semula tetapi melemah kembali pada keesokan harinya sambil bergerak terus ke arah barat-barat laut.

Maka berdasarkan fakta itu Helmi menafikan dakwaan bahawa akan sampai taufan itu ke tanah ini, malah berdasarkan cerapan terkini Met Malaysia mendapati tiada tanda-tanda akan berlaku lagi episod hujan lebat berterusan dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu akan datang ini.

“Kami telah menamatkan amaran hujan lebat berterusan pada 19 Disember dan pihak kami juga tidak menjangkakan dalam tempoh terdekat ini akan berlaku episod hujan lebat di negara kita.

“Setakat ini belum ada tanda-tanda awal lagi berdasarkan rujukan kami kepada model-model global juga model-model cuaca yang dioperasikan oleh pihak kami,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS