Kegagalan NADMA : Menteri yang wajib dipecat segera

Kegagalan NADMA : Menteri yang wajib dipecat segera

Walaupun saya mendengar banyak berita dan maklumat tidak menyenangkan mengenai tragedi banjir yang sedang melanda Selangor sekarang ini, baik melalui portal dan media sosial atau secara langsung melalui penyampaian yang disalurkan terus oleh pelbagai pihak, tetapi saya lebih memilih untuk mendiamkan diri mengenainya.

Lebih-lebih yang saya cuba elak ialah menulis dalam bentuk mengkritik, mengecam dan mempertikai kelemahan atau kekurangan sama ada kerajaan pusat, kerajaan negeri, menteri, wakil rakyat dan pihak-pihak lain yang diketahui sedang turun padang memberi bantuan masing-masing.

Kepada saya, dalam masa tragedi seperti ini bukan masanya untuk kita bermain politik dan menyalahkan sesiapa, meski kita sedar mungkin ada kelemahan di mana-mana dalam proses mereka bertindak itu.

Lebih-lebih lagi kalau dalam mengkritik itu, kita sendiri tidak sama turun padang memberikan bantuan.

Yang mana sedang membantu, boleh membantu dan akan membantu, berilah peluang kepada mereka menjalankan peranan berdasarkan keupayaan serta bidang kuasa masing-masing.

Barangkali kelemahan yang berlaku sehari dua lalu yang sama-sama kita dengari itu sedang ditangani atau diatasi secara perlahan-lahan dan kita berharap semuanya akan beres dalam masa terdekat ini.

Tetapi, berita mengenai kenyataan Menteri Tugas-Tugas Khas, Dr Latif Ahmad tentang peranan NADMA atau Agensi Pengurusan Bencana Negara ketika banjir sedang melanda ini bukan saja membuatkan kita kecewa, malah tentunya juga berasa amat marah.

Dr Latif dalam kenyataannya berkata, NADMA tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri.

Katanya, NADMA hanya menjaga urusan dalam pemberian pampasan kepada mana-mana mangsa selepas mendapat maklumat dan senarai daripada kerajaan negeri.

“Kalau hal ehwal yang berkaitan dengan banjir atau bencana, perlu dikongsi oleh pihak ini (kerajaan negeri dan kerajaan tempatan), jangan bulat-bulat serahkan kepada NADMA di peringkat pusat,” katanya lagi.

Ternampak dalam hal ini Dr Latif tidak faham peranan dan makna NADMA itu sendiri.

Kalau sudah namanya pun Agensi Pengurusan Bencana Negara, maka sudah tentulah peranan utamanya berkaitan apa juga bencana yang berlaku dalam negara seperti banjir, tanah runtuh, gunung meletup atau wabak yang memberi kesan kepada kehidupan manusia serta tidak terkecuali memberi pampasan.

Seperti mana kita sedia maklum juga, NADMA ini ditubuhkan selepas berlakunya banjir besar di Kelantan pada 2014 dahulu dan peranan utamanya ialah menyelaras kerja agensi-agensi yang boleh memberi bantuan dan penyelamatan seperti ATM, PDRM, Bomba, Rela, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya ketika berlakunya sesuatu bencana.

Jika NADMA sekadar menguruskan pampasan, apakah perlu begitu banyak agensi kerajaan yang perlu berada di bawahnya untuk diselaraskan dan perlukah juga seorang menteri bagi menjaganya?

Kenyataan Dr. Latif ini bukan saja tidak bertanggungjawab, malah menunjukkan beliau cuba lepas tangan atas kegagalannya memainkan peranan paling penting dalam tragedi banjir yang sedang melanda Selangor ketika ini.

Dengan kenyataannya yang begini, bagaimana Ismail Sabri Yaakob boleh mendabik dada mengatakan menteri-menterinya mendapat markah purata 90% dalam tempoh 100 hari pertama selepas mengangkat sumpah?

Sebenarnya Dr Latif melalui kenyataannya itu dengan jelas menunjukkan beliau telah gagal, tidak memiliki jiwa sebagai seorang pemimpin dan tidak layak sama sekali memegang jawatan menteri.

Ismail Sabri mesti membuangnya segera, kegagalan beliau memahami peranan NADMA ini adalah tanda gagalnya kerajaan ini secara keseluruhannya.

ShahbudinHusin 21/12/2021.

CATEGORIES

COMMENTS