Lembab: Mangsa banjir sekolahkan Menteri Umno

Lembab: Mangsa banjir sekolahkan Menteri Umno

Seorang penduduk di Taman Sri Nanding memberitahu, ketika mereka berdepan dengan suasana cemas dan tiada mana-mana pihak tampil membantu, yang datang menolong mereka ialah warga asing.

Wanita terbabit – yang menceritakan suasana dialaminya kepada Noh Omar – berkata ada tiga warga Indonesia mendayung sampan untuk menyelamatkan anak salah seorang penduduk taman berkenaan pada awal pagi.

Ketika itu katanya mangsa terpaksa menyelamatkan diri dengan berada di bumbung rumah sejak tengah malam sehingga jam 5.30 pagi.

“Itu yang datang menolong kami, rakya asing. Di mana agensi kerajaan waktu itu?” katanya di depan Noh yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Kejadian itu dirakam di salah sebuah pusat pemindahan banjir di Hulu Langat, Selangor.

Menurut wanita terbabit lagi dia menghubungi pelbagai agensi kerajaan untuk membantu menyelamatkan penduduk di kawasan petempatan berkenaan namun tiada sesiapa yang datang.

Antara pihak yang dihubungi, dakwa wanita itu, ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Malah dia mendakwa menghubungi kem tentera di Sungai Besi.

Namun katanya tidak ada satu pun agensi kerajaan yang datang menolong sehinggalah apabila air sudah surut.

“Kenapa agensi kerajaan datang pada pagi semasa air sudah surut. Semasa keadaan kritikal, air dah sampai tahap bumbung rumah, tak ada sebarang agensi kerajaan datang menolong, kecuali JPAM yang difahamkan hantar tiga bot.

“Sudah tentulah tan sir, tiga bot tak mencukupi untuk menolong semua warga Hulu Langat.

This is common sense, kan tan sri?” katanya, memetik Malaysiakini.

Noh yang juga ahli parlimen Tanjung Karang kemudian kedengaran membalas: “Hmm… ya.”

Hampir 30 meninggal dunia

Noh hadir di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Abul Jalil itu untuk menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Suriani Ahmad.

Untuk rekod Noh merupakan pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor sebelum tugas itu diambil alih oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mulai hari ini.

Hulu Langat adalah antara kawasan paling teruk terjejas oleh banjir yang berlaku pada Sabtu lalu.

Malah sesetengah pihak berpendapat kerosakan yang dialami di kawasan itu jauh lebih serius berbanding apa yang berlaku di Shah Alam dan Klang.

Setakat pagi ini seramai 27 orang disahkan meninggal dunia di pelbagai lokasi akibat bencana tersebut dengan 20 daripadanya di Selangor.

Tujuh lagi mangsa dilaporkan meninggal dunia di Pahang.

Selain korban di Seksyen 25 Taman Sri Muda di Shah Alam, mayat juga ditemukan di Kajang, Sungai Buloh dan Klang.

CATEGORIES

COMMENTS