Saya tidur dengan Najib, kata Rosmah

Saya tidur dengan Najib, kata Rosmah

Rosmah Mansor ketika memberi keterangan di mahkamah berkata jika dia benar-benar mahukan sogokan, dia hanya perlu meminta suaminya Najib Razak berbuat demikian daripada bergantung kepada orang lain.

Isteri bekas perdana menteri itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ketika menafikan keterangan bekas pembantunya, Rizal Mansor, bahawa dia mengarahkannya meminta sogokan wang jutaan ringgit.

Semasa perbicaraan rasuah hari ini yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, tertuduh Rosmah menolak keterangan lisan Rizal bahawa dia memintanya mendapatkan rasuah RM5 juta dan RM1.5 juta.

Rizal sebelum ini memberi keterangan dia mendapatkan rasuah bagi pihak Rosmah untuk memastikan kontrak projek itu diberikan kepada syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd.

“Saya tidak pernah meminta Rizal berunding bagi pihak saya untuk RM1.5 juta dan RM5 juta. (Secara andaian) Saya tidak akan pernah bertanya kepadanya kerana dia hanya kakitangan.

“Kalau saya nak, kenapa pergi kepada Rizal, saya tidur dengan suami saya (Najib), saya boleh suruh dia (Najib) buat,” jawab Rosmah semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Akberdin Abdul Kader.

Tertuduh seterusnya mendakwa Rizal (gambar, atas) bersubahat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membabitkannya dalam kes mahkamah.

Rosmah dalam prosiding sebelum ini telah berhujah bahawa Rizal merupakan dalang sebenar di sebalik keseluruhan kes berkenaan.

Isteri bekas perdana menteri itu juga berhujah Rizal telah membuat perjanjian dengan pendakwa raya untuk pertuduhan rasuah berkaitannya digugurkan sebagai balasan memberi keterangannya terhadap Rosmah.

Pada 8 Jan tahun lepas, pihak pendakwaan memohon untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Rizal, sebagai balasan keterangannya terhadap Rosmah.

Prosiding berlangsung di hadapan hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan dijangka bersambung semula pada 10 Jan tahun depan.

Berhubung perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Rosmah, 70, menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.

Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa masing-masing menerima rasuah RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai sogokan untuk mendapatkan projek itu.

Pada 18 Feb tahun ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri, berikutan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Hari ini merupakan sebahagian dari peringkat perbicaraan pihak pembelaan.

CATEGORIES

COMMENTS