400 pelajar Parlimen Parit Buntar terima sumbangan kelengkapan sekolah

400 pelajar Parlimen Parit Buntar terima sumbangan kelengkapan sekolah

Memandangkan berlaku kenaikan harga barang termasuk harga pakaian sekolah, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar mengambil inisiatif membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan bagi penyediaan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, seramai 400 pelajar di Parlimen Parit Buntar telah menerima kelengkapan sekolah sebagai persiapan untuk memasuki sesi persekolahan tahun depan menerusi program ‘Back To School’ yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar dan AMANAH Kawasan Parit Buntar

“Penyampaian sumbangan berbentuk baucar untuk membeli pakaian sekolah telah diadakan di lima zon iaitu Bagan Tiang, Kuala Kurau, Tanjung Piandang, Titi Serong dan Parit Buntar

“Hari ini, program ini diadakan di Mydin Mall , Parit Buntar melibatkan penyampaian baucar kepada 100 orang pelajar,” katanya ketika ditemui pada program serahan baucar bagi program Back To School di Pasaraya Mydin, di sini.

Dr Mujahid berkata, walaupun bukan lagi menjadi wakil rakyat kerajaan, beliau tetap mengambil inisiatif bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dalam Parlimen Parit Buntar.

“Bantuan pakaian seragam sekolah ini adalah sebahagian daripada program bantuan yang kita berikan kepada penduduk berpendapatan rendah dalam kawasan ini sepanjang tahun.

“Selain itu, setiap bulan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar menghulurkan sumbangan barangan keperluan dapur kepada golongan memerlukan, bantuan kepada penduduk dikuarantin serta pelbagai bantuan lain,” katanya.

Turut hadir meraikan pelajar ialah En. Azmin Bin Dato’ Dr Hj Saduruddin, Eksekutif Direktor Mydin Wilayah Utara dan  En. Muhammad Nazri Bin Abdul Latif , Pengurus Cawangan Mydin Parit Buntar, Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, Penyelaras DUN Titi Serong, Mohd Adnan Ghazali dan Ketua Pemuda AMANAH Parit Buntar, Muhamad Nakhaei Abdul Wahab.

Dr Mujahid berkata, program itu memberi semangat dan menceriakan pelajar terbabit sebelum memulakan sesi persekolahan 2022.

Sementara itu, salah seorang ibu pelajar yang ditemui, Shafiah Hasan, 43, berkata, dia lega apabila anaknya menerima baucar pembelian pakaian seragam sekolah itu.

“Dengan pendapatan rendah, perbelanjaan untuk sediakan kelengkapan sekolah anak-anak cukup membebankan.

“Saya ucap terima kasih kepada wakil rakyat kerana tanpa bantuan sebegini, kami terpaksa berbelanja lebih untuk keperluan sekolah anak-anak,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS