Panas! Shafie dedah punca Peter keluar Warisan

Panas! Shafie dedah punca Peter keluar Warisan

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd Shafie Apdal menyifatkan keputusan Adun Melalap, Peter Anthony yang meninggalkan parti itu, semalam, sebagai bukan sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, tindakan Peter sudah dijangkakan tetapi kesal kerana hasratnya untuk menubuhkan parti tempatan pelbagai kaum bakal memecah-belahkan perpaduan rakyat di Sabah.

“Saya bersimpati kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

“Keputusan Peter untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan memecah-belahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, naib presiden Warisan itu mendakwa tindakannya adalah demi memperjuangkan hak serta nasib rakyat Sabah, selepas dia melihat parti Warisan telah jauh tersasar dalam perjuangan itu apabila ia melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Kata bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu, rakyat Sabah ini perlukan satu parti yang betul-betul memperjuangkan hak orang Sabah.

Menurut laporan Malaysiakini, pengumuman itu dibuatnya kira-kira dua minggu selepas Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur mengarahkannya membela diri terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

Bagaimanpun, Peter pada sidang media semalam juga menolak dakwaan kononnya tindakannya keluar parti adalah disebabkan kes mahkamah berkenaan tetapi menegaskan keputusannya adalah kerana suara dari akar umbi rakyat Sabah.

Mengulas lanjut, Shafie menyifatkan hasrat Peter untuk menubuhkan parti baru tempatan pelbagai kaum bercanggah dengan tindakannya ingin menyertai kerajaan negeri yang terdiri daripada parti nasional.

“Dalam sidang media, Peter berkata sesebuah negeri patut ditadbir oleh parti politik setempat menurut negeri masing-masing.

“Bagaimanapun ini bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai GRS yang terdiri daripada parti nasional dan parti tempatan.

“Alasan untuk keluar parti kerana Warisan tersasar dari perjuangan asal hanya kerana melebarkan sayap ke Semenanjung, adalah tidak benar,” kata Shafie.

Presiden Warisan itu juga melahirkan kekesalannya dengan tindakan Adun Limbahau, Juil Nuatim, yang meninggalkan parti itu semalam bersama Peter.

“Tindakan Juil Nuatim juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, Peter mempertahankan kerusi DUN Melalap setelah memperoleh 5,694 undi bagi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jamawi Jaafar yang memperoleh hanya 3,526 undi.

Dia menang atas tiket Warisan dengan majoriti 1,719 undi dalam saingan enam penjuru.

Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan kini hanya memiliki 18 kerusi di DUN Sabah, apabila sebelum ini tiga Adun yang terdiri daripada Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Yusof Yacob (Sindumin) dan Mohammadin Ketapi (Segama) juga Ahli Parlimen Lahad Datu, bertindak keluar parti, manakala Manis Muka Mohd Darah (Bugaya) meninggal dunia tahun lalu.

CATEGORIES

COMMENTS