Banjir teruk: Akhirnya Jabatan Perhutanan Pahang keluar arahan henti sementara aktiviti membalak

Banjir teruk: Akhirnya Jabatan Perhutanan Pahang keluar arahan henti sementara aktiviti membalak

Jabatan Perhutanan Pahang telah mengeluarkan arahan terhadap aktiviti pembalakan berhenti sementara berikutan keadaan banjir.

Demikian menurut surat bertajuk “Arahan penangguhan sementara aktiviti pengusahasilan hutan dan pengangkutan kayu balak semasa musim tengkujuh dan bencana banjir tahun 2022.”

Menurut Malaysiakini, surat itu dikeluarkan Pengarah Perhutanan Pahang Mohd Hizamri Mohd Yasin semalam.

“Adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah mengambil keputusan untuk memberhentikan sementara operasi pengusahasilan hutan dan pengeluaran kayu dari matau di Negeri Pahang bermula 3 Januari 2022 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Justeru itu, pihak tuan adalah dipohon untuk mengambil tindakan segera bagi penangguhan sementara ini bagi mengurangkan impak terhadap kawasan usahasil dan keselamatan pekerja.

“Tindakan yang sewajarnya akan diambil kepada pemegang lesen yang melanggar arahan ini dan boleh disabitkan kesalahan di bawah peruntukan Aka Perhutanan Negara 1984,” kata surat itu.

Hizamri ketika dihubungi mengesahkan telah mengeluarkan arahan itu.

Menurut Hizamri, surat itu merupakan pekeliling dalaman yang dikeluarkan kepada pegawai perhutanan Pahang.

Pahang mengalami banjir di banyak lokasi di negeri ini berikutan musim tengkujuh.

Bagaimanapun, keadaan banjir yang kelihatan sangat teruk tahun ini menyebabkan ramai pihak menyalahkan pembalakan sebagai punca utama.

Ini terutamanya selepas sejumlah besar serpihan kayu ditemui di kawasan Telemong, yang sesetengah pihak mendakwa mungkin hasil daripada aktiviti pembalakan.

Jabatan itu bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan, menjelaskan serpihan berpunca daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul pada 18 Dis.

CATEGORIES

COMMENTS