Panas! Ahli parlimen dedah Ismail Sabri bakal lantik Najib sebagai penasihat ekonomi PM

Panas! Ahli parlimen dedah Ismail Sabri bakal lantik Najib sebagai penasihat ekonomi PM

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meluluskan pelantikan Najib Razak sebagai menteri, jika nama bekas perdana menteri dihantar kepada agensi itu untuk semakan.

Dia membangkitkan persoalan itu susulan laporan berhubung spekulasi penyusunan semula kabinet membabitkan empat menteri, dengan Najib disebut-sebut bakal diangkat sebagai penasihat ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.

“Menjadi amalan biasa untuk memanjangkan senarai cadangan pelantikan sama ada ke dalam kabinet atau apa-apa jawatan tinggi kerajaan ke SPRM untuk semakan.

“Adakah SPRM akan meluluskan pelantikan penjenayah yang telah disabitkan bersalah sebagai menteri kabinet?” soal veteran DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, terdapat khabar angin bahawa Ismail Sabri akan menggugurkan beberapa menteri – tiga atau empat- namun ia dinafikan sumber yang dekat dengan perdana menteri.

Antara nama menteri yang disebut-sebut akan digugurkan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad susulan kritikan terhadap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang dikatakan gagal memainkan peranan berkesan semasa bencana banjir.

Nadma berada bawah bidang kuasa Latiff.

Selain itu nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Rina Harun turut disebut-sebut. Dia dikecam hebat kerana menyembur kaki lima sebuah sekolah yang tidak dicemari lumpur banjir, tular di alam maya.

Spekulasi Najib akan dilantik sebagai penasihat ekonomi juga bertiup kembali setelah muncul kali pertama September lalu.

Lim turut mempersoalkan apakah khabar angin itu ada kaitan dengan sikap membisu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terhadap dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memiliki lebih dua juta saham dalam syarikat senaraian awam dan syarikat lain.

Kata Lim, meskipun dia tidak pasti ketepatan laporan itu, melantik Najib ke apa-apa jawatan bertaraf menteri adalah melanggar “garisan merah” dan menjejaskan memorandum persefahaman (MOU) Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan.

MOU itu ditandatangani pada 13 Sep 2021.

Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC, dan akan merayu ke Mahkamah Persekutuan setelah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Najib masih dibicarakan untuk kes-kes lain berkaitan 1MDB.

Azam Baki pula berdepan dakwaan memiliki antara 1.9 juta hingga 2.9 juta saham dalam sebuah syarikat senaraian awam pada 2016, serta 2.15 juta waran dalam sebuah lagi syarikat lain.

Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Kontroversi melanda Azam mengundang desakan pelbagai pihak, khususnya daripada pembangkang yang menempelak sikap membisu Ismail Sabri dalam kes itu, selain desakan agar Azam direhatkan sementara menunggu siasatan.

Esok, SPRM dijangka mengadakan satu sidang media bagi menjelaskan dakwaan konflik kepentingan yang melibatkan Azam.

CATEGORIES

COMMENTS