Lelaki ini dakwa Ismail Sabri akan gagal di mata rakyat jika enggan rombak kabinet

Lelaki ini dakwa Ismail Sabri akan gagal di mata rakyat jika enggan rombak kabinet

Di sebalik timbulnya pelbagai ura-ura dan khabar angin, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan tegas menyatakan tiada rombakan kabinet akan dilakukannya pada waktu ini.

Kata beliau, tumpuannya kini ialah kepada isu yang mencengkam kehidupan rakyat, terutama bencana banjir dan Covid19.

Dengan demikian, tambahnya, hal berkenaan rombakan kabinet yang kini diperbualkan masyarakat hanyalah spekulasi semata-mata.

Antara yang hangat dispekulasi mengenai rombakan kabinet ialah pengguguran beberapa menteri dan perlantikan Timbalan Perdana Menteri.

Menteri yang disebut-sebut bakal digugurkan ialah Dr. Latif Ahmad, Rina Harun dan Halimah Saddique, manakala Hishammuddin Hussein, Hamzah Zainuddin atau Azmin Ali diperkatakan akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi, disebabkan Ismail Sabri sendiri sudah menyatakan tiada rombakan kabinet akan dilakukannya, maka tiadalah pengguguran menteri dan perlantikan Timbalan Perdana Menteri akan berlaku dalam waktu terdekat ini.

Dalam keadaan Ismail Sabri kian menggunung dipertikai kerana dilihat terlalu lemah, tidak upaya memimpin, menteri-menterinya yang dilantiknya tak berfungsi dan kerajaannya dianggap paling teruk, ketidaksediaan beliau merombak kabinetnya adalah suatu perkara yang malang sebenarnya.

Tiada rombakan kabinet bermakna Ismail Sabri yang gagal serta kerajaannya yang gagal sekarang akan terus gagal dan tiada harapan ada kemajuan dalam perkhidmatannya kepada rakyat.

Kerajaan yang gagal hanya boleh diperbaiki jika Perdana Menterinya sedia melakukan perubahan atau merombak kabinetnya.

Dirinya yang terlalu lemah itu pula hanya mungkin dapat dipertingkatkan prestasinya jika beliau mempunyai seorang timbalan yang berwibawa dan benar-benar membantunya.

Namun, dengan tiada perubahan atau rombakan bermakna tiada apa-apa yang lebih baik bakal terserlah selepas ini.

Bagaimana beliau mahu menjamin khidmat yang lebih baik, terutama mengurus bencana banjir, Covid19 dan kesannya kepada rakyat jika pasukan kabinet dan barisan menterinya adalah mereka yang tidak berupaya dan dipertikaikan, bukan saja sekarang, malah sejak era Mahiaddin Md Yasin lagi?

Lantaran itu, tambahan lagi berikutan kerajaan yang ada sekarang begitu dipertikaikan rakyat daripada segenap penjuru, melakukan perubahan dan merombak kabinet adalah suatu tuntutan yang tidak dapat dielakkan lagi.

Enggan melakukannya hanya menyerlahkan kelemahan Ismail Sabri untuk berubah, di samping ketidakmampuannya untuk bertindak balas terhadap rasa tidak puas hati yang semakin merata di kalangan rakyat.

Akhirnya, kerajaan ini hanya menjanjikan derita yang lebih lama buat rakyat, sementara menteri-menteri yang ada boleh terus berfoya-foya dan bermewah dengan kegagalan mereka.

ShahbudinHusin 05/01/2021.

CATEGORIES

COMMENTS