Panas! Persatuan Perubatan tempelak SPRM berhubung klip video kesedaran rasuah

Panas! Persatuan Perubatan tempelak SPRM berhubung klip video kesedaran rasuah

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyelar klip video kesedaran antirasuah yang dikongsikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaparkan seorang doktor menerima rasuah untuk mengeluarkan sijil cuti sakit (MC).

Dalam kenyataannya, MMA menuntut SPRM menurunkan segera klip video yang dianggap mencemarkan imej profesion perubatan itu.

“Agensi itu sepatutnya menggunakan contoh lain untuk menyampaikan mesejnya. Sebagai doktor kami rasa amat terhina dengan hantaran itu yang wajar diturunkan segera,” kata MMA dalam satu kenyataan.

Dalam klip video dikongsikan di akaun Twitter rasmi SPRM, seorang lelaki dilihat meminta MC walaupun doktor memberitahu dia sihat.

Lelaki itu kemudian menyerahkan sampul surat kepada doktor itu untuk “memudahkan” permintaannya. Doktor itu dilihat menerima sampul berkenaan sebelum menandatangani MC untuknya.

Video itu berakhir dengan kata-kata “semarakkan integriti, rasuah diperangi”.

MMA menyelar SPRM kerana seolah-olah melupakan pengorbanan doktor sepanjang wabak COVID-19 yang setakat ini meragut 31,609 nyawa di negara ini.

“Baru-baru ini ramai doktor kami meredah air setinggi paras pinggang untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir walaupun klinik mereka sendiri musnah akibat air bah,” kata MMA.

“Kami menggesa SPRM membuat permohonan maaf secara terbuka atas video itu dan pada masa sama membersihkan isu dalamannya sendiri terlebih dahulu.

“Melihat kepada komen netizen terhadap video itu, nampaknya SPRM juga mempunyai isu tersendiri melibatkan reputasinya yang perlu diselesaikan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS