Terkini! Khalid dedah Shahidan mungkir janji, pengambilan tanah Kg Baru tetap diteruskan

Terkini! Khalid dedah Shahidan mungkir janji, pengambilan tanah Kg Baru tetap diteruskan

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempersoalkan mengapa pengambilan tanah di Sungai Baru, Kampung Baru diteruskan walaupun Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim telah berjanji akan berhubung dengan pemaju dan pemilik tanah.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu berkata Shahidan telah membuat janji sedemikian ketika membahaskan isu pengambilan tanah berkenaan di kamar khas parlimen pada 13 Dis lepas.

“Dalam jawapannya semasa perbahasan, menteri wilayah persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa dia akan mengadakan pertemuan antara pemaju dan pemilik tanah untuk menyelesaikan sebarang isu berkaitan pengambilan tanah.

“Malangnya sehingga hari ini, saya telah dihubungi oleh banyak pemilik tanah memaklumkan bahawa tiada sebarang mesyuarat diatur seperti yang dijanjikan oleh menteri,” kata Khalid dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebaliknya pemilik tanah telah dihubungi Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan untuk menghadiri sesi perbicaraan kedua pada 19 Jan untuk memuktamadkan proses pengambilalihan.

“Bagaimana ini boleh berlaku selepas menteri berjanji untuk menangguhkan semua proses pengambilan tanah dan mengadakan pertemuan antara pemaju dan pemilik tanah?” soal Khalid.

Dia berkata pemilik tanah berada dalam kekeliruan dan Shahidan perlu bertanggungjawab terhadap janjinya.

Khalid sebelum ini mendakwa penggantinya Annuar Musa terlalu berpihak kepada pemaju berbanding pemilik tanah.

Pada 13 Dis lalu, Shahidan dalam sesi kamar khas di Dewan Rakyat memberi jaminan isu pengambilan tanah di Sungai Baru, Kampung Baru akan dilaksanakan secara adil dan mementingkan kepentingan pemilik lot/ flat PKNS Sungai Baru.

Shahidan berkata dia sendiri akan berunding dengan pemilik dan pemaju terlibat bagi memastikan satu persetujuan yang adil dapat dicapai.

“Semua akan diberi keadilan sebaiknya. Kalau tidak pun saya akan kurangkan masalah di tahap yang minimum. Saya ingat pada Januari, saya kira akan selesaikan dan selepas itu kita akan lihat pembangunan Kuala Lumpur secara keseluruhan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS