Terkini! Salahuddin kemuka usul tergempar terhadap Azam Baki

Terkini! Salahuddin kemuka usul tergempar terhadap Azam Baki

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengemukakan usul tergempar agar isu dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dibahaskan pada sesi Dewan Rakyat, 1 Mac ini.

Katanya, beliau berbuat demikian di bawah Peraturan 18 (1)(2) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat berkenaan usul berkepentingan orang ramai yang perlu disegerakan.

“Pada pagi 6 Januari bagi pihak rakyat Malaysia, saya mengambil tanggungjawab membawa isu pemilikan saham yang sangat mencurigakan oleh penjawat tertinggi SPRM.

“Saya harap usul yang penting ini dapat diterima dan dibahas di Dewan Persidangan bukan dalam Kamar Khas kerana isu ini sangat menyentuh persoalan integriti seorang penjawat awam yang menimbulkan persoalan kepercayaan dalam kalangan rakyat awam,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pemakluman surat usul bertarikh 5 Januari kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, Salahuddin berkata, isu tersebut adalah berkenaan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan, selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2).

Kelmarin, Azam menjelaskan isu adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu dan memaklumkan sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.

CATEGORIES

COMMENTS