Panas! Mahdzir nafi ada dua kem yang sedang bertembung dalam Umno

Panas! Mahdzir nafi ada dua kem yang sedang bertembung dalam Umno

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan tidak wujud sebarang kelompok dalam pucuk pimpinan parti itu.

Beliau berkata, urusan perjalanan parti juga berlangsung dengan baik walaupun jawatan Perdana Menteri bukan disandang Presiden UMNO seperti tradisi sebelum ini.

“Usah wujudkan pandangan seolah-olah ada dua kelompok dalam UMNO kerana perkara tersebut tidak wujud.

“Sebagai Naib Presiden, saya boleh sahkan bahawa segalanya baik-baik saja di peringkat pusat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Baucar Persekolahan 2022 Parlimen Padang Terap di Dewan Bangunan UMNO Padang Terap pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai hubungan antara pucuk pimpinan tertinggi UMNO, Mahdzir berkata, ini merupakan kali pertama Naib Presiden parti dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Apabila Naib Presiden jadi Perdana Menteri, Presiden uruskan parti. Dari setakat ini yang saya sebut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah Presiden parti,” ujarnya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu berharap tidak ada pihak yang mengadu domba pucuk pimpinan UMNO sehingga boleh menimbulkan pergolakan dalam parti tersebut.

“Kita berada dalam satu rangka kerja menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan Presiden komited menguruskan parti ketika Naib Presiden menjadi Perdana Menteri, jadi saya tak nampak ada sebarang masalah ketika ini,” jelas Mahdzir.

CATEGORIES

COMMENTS