Setelah TMJ tegur, isu tunggakan gaji Melaka United selesai

Setelah TMJ tegur, isu tunggakan gaji Melaka United selesai

Isu tunggakan gaji yang melibatkan Melaka United (MUFC) akhirnya selesai apabila mereka menunaikan janji melunaskan bayaran gaji pemain yang yang tertunggak selama tiga bulan.

Perkembangan itu turut disahkan oleh Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) selepas menerima makluman daripada para pemain bahawa pengurusan MUFC sudah menjelaskan tunggakan 3 bulan seperti yang dituntut sebelum ini.

“PFAM ingin mengucapkan syabas buat para pemain yang berani tampil untuk membuat laporan dan juga mengucapkan terima kasih ke atas pengurusan MUFC yang diterajui oleh pemiliknya, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat dan KenTeam yang segera menyelesaikan isu ini. PFAM percaya di bawah pengendalian Datuk Wira Justin selepas ini, perkara ini akan sentiasa diberikan perhatian bagi memastikan isu ini tidak akan berulang di masa akan datang.

“PFAM juga menggesa agar isu ini dijadikan contoh oleh semua pasukan agar segera peka dan menyelesaikan masalah berkaitan tunggakan gaji dalam kadar yang segera memandangkan para pemain sudah pun menjalankan tanggungjawab mereka terhadap pasukan,” tulis kenyataan rasmi.

Selain itu, PFAM juga turut menzahirkan jutaan penghargaan kepada penaung mereka, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, atas keprihatinan dalam hal ehwal kebajikan dan hak para pemain, dan yang terbaru, dalam isu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain Melaka United FC.

Sementara itu, ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan lega isu tunggakan gaji sudah selesai dan beliau kini boleh menumpukan perhatian untuk mempersiapkan pasukan menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

“Biarpun Melaka United dilanda dengan isu tunggakan gaji musim lalu, saya dan pasukan ketika itu tetap menaruh kepercayaan kepada kelab dengan terus memberikan yang terbaik sepanjang saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

“Kami sedar dan memahami dengan keadaan yang dihadapi kelab ketika itu sehingga timbul isu tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai pasukan, namun segalanya dapat diselesaikan sehingga akhirnya kami menerima keseluruhan gaji yang tertunggak petang ini,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS