Lan Solo akhirnya pilih Sumandak Sabah

Lan Solo akhirnya pilih Sumandak Sabah

Cukup dikenali dengan lagu-lagu berentak rock, nama Lan Solo kini nampaknya tidak hanya terarah ke arah genre itu.

Terbaharu, Lan muncul dengan buah tangan bertajuk 5 Kaki 4 Inci yang mengetengahkan muzik dan bahasa dari negeri Sabah.

“Tajuk 5 Kaki 4 Inci ini adalah simbolik kepada ketinggian gadis dari negeri Sabah yang, cukup popular dengan kemanisan wajah serta keperibadian mereka.

“Lagi pula, saya rasa judul lagu sebegini bukan lagi asing buat masyarakat Borneo kerana ia begitu unik dan mencuri perhatian,” katanya.

Dihasilkan oleh penyanyi dan komposer, Velvet Aduk Lawrence, lagu 5 Kaki 4 Inci juga mendapat sentuhan daripada Velvet sendiri serta Marsha Milan.

“Rakaman untuk lagu ini dibuat di Kuala Lumpur, tetapi, lokasi penggambaran video muziknya kami lakukan di pelbagai daerah menarik di Sabah.

“Dalam lagu ini juga, saya menggunakan dialek bahasa Melayu Sabah dan turut menyelitkan beberapa perkataan dari bahasa Dusun,” katanya.

Ditanya mengapa dia tidak menghasilkan lagu ini dalam bahasa Dusun sepenuhnya, Lan mengakui kurang fasih dalam bahasa itu.

“Seperti yang semua sedia maklum, saya adalah warga Semenanjung. Jadi, penguasaan bahasa Dusun saya juga tidak lancar.

“Sebelum ini, saya pernah rakamkan lagu ‘cover’ berbahasa Dusun, tapi ada ramai juga yang menegur sebutan saya yang tak tepat.

“Jadi, untuk mengelakkan sebarang salah faham, saya rasa lebih baik saya menyanyi dalam bahasa Melayu Sabah dan selitkan beberapa perkataan bahasa Dusun yang mudah difahami,” katanya.

Selain untuk tujuan berkarya, lagu 5 Kaki 4 Inci juga adalah sebagai tanda penghargaan Lan kepada peminat serta penyokongnya dari negeri Sabah dan Sarawak.

“Seperti semua sedia maklum, saya ada membuka perniagaan dengan menjual barangan tempatan dari Sabah dan membawanya ke Kuala Lumpur.

“Dari situ, saya melihat ia mendapat sokongan daripada penduduk Sabah serta Sarawak. Bagi saya, kehadiran lagu ini juga adalah satu cara untuk saya menghargai sokongan mereka,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 12 Januari lalu, video muzik 5 Kaki 4 Inci sudah ditonton hampir 100,000 tontonan di YouTube.

CATEGORIES

COMMENTS